MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya tidak semua pemimpin dalam UMNO mahu kerjasama antara kedua-dua parti itu dihentikan, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebaliknya berkata, beliau yakin keputusan memutuskan kerjasama itu merupakan pandangan peribadi pemimpin tertentu dalam UMNO dan bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili.
“Dalam hidup ini kadang-kadang ada orang hendak berkawan dengan kita, kadang-kadang orang itu tidak berapa hendak berkawan dengan kita, mungkin kerana cemburu sebab kehebatan kita, kelebihan yang ada pada kita tetapi Bersatu tidak memandang kepada semua itu.
“Jadi, kalau ada yang kata tidak mahu bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Alor Gajah di A’ Famosa Resort, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut memberitahu, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan dan percaya rakyat pada ketika ini turut mengharapkan situasi politik negara lebih stabil dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














