BUENOS AIRES – Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi mengesahkan bakal mengundi dua rakan sepasukannya di kelab Paris Saint Germain (PSG), Neymar serta Kylian Mbappe untuk menerima Anugerah Ballon d’Or pada tahun ini.
Sebagai rekod, senarai 30 pemain untuk menerima anugerah pengiktirafan bola sepak paling berprestij itu telah didedahkan kelmarin selepas dimansuhkan pada tahun lepas susulan penularan Covid-19.
Difahamkan, barisan pemain yang menjadi pilihan utama untuk muncul tiga bintang terbaik dunia adalah Messi yang berjaya membantu Argentina menjuarai Copa America, Jorginho yang unggul bersama Chelsea dan Itali selain Robert Lewandowski, penyerang paling berbisa ketika ini.
Namun, Messi mengakui lebih berminat untuk mengundi Mbappe dan Neymar kerana mereka berdua memiliki teknik bola sepak terbaik sebelum memilih Lewandowski serta penyerang Real Madrid, Karim Benzema.
“Sudah pasti saya akan mengundi dua rakan sepasukan saya di PSG iaitu Mbappe dan Neymar. Selepas itu yang berada dalam pilihan saya adalah Benzema serta Lewandowski kerana ketajaman mereka di hadapan gol.
“Apa yang pasti, saya percaya pengundi kini sudah bijak menilai kerana yang paling utama adalah kejayaan membantu pasukan menjulang trofi seperti Liga Juara-Juara Eropah, Copa America dan Kejohanan Euro yang boleh mempengaruhi proses undian,” katanya.
Messi sebelum ini telah meraih trofi Ballon D’or sebanyak enam kali, manakala musuh terdekat, Cristiano Ronaldo telah mendapat lima pengiktirafan sepanjang kariernya.
– AGENSI














