SHAH ALAM – Tiada apa yang diharapkan oleh seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, selain berdoa agar pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian remaja itu menerima hukuman setimpal.
Sepupu Muhammad Hafiz Syamir, Putri Jasnita Abdullah, 19, berkata, dia secara peribadi bersyukur apabila pelaku kepada kejadian itu telah didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh.
Malah katanya, pertuduhan berat yang membawa hukuman mati kepada individu berkenaan dianggap sebagai hadiah hari jadi bermakna buat Allahyarham sepupunya yang sepatutnya diraikan semalam.
“Kami berharap ada keadilan buat kedua-dua mangsa kerana perbuatan si pelaku dengan memandu melawan arus adalah sesuatu yang tidak bertimbang rasa dan kejam.
“Kes memandu melawan arus ketika ini banyak berlaku seolah-olah mereka tiada kesedaran sivik mengenai keselamatan orang lain di jalan raya.
“Hari ini (semalam) adalah hari jadi arwah, dan sudah pasti seluruh keluarga merasai kehilangannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: Pemandu lawan arus berdepan hukuman gantung
Berita berkaitan: Dua remaja maut dilanggar kenderaan lawan arus
Putri berkata, tindakan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan semula kes tersebut membuktikan bahawa tindakan melawan arus tidak boleh dipandang ringan oleh pengguna jalan raya.
“Sudah pasti, kami sekeluarga berharap ada pembalasan setimpal terhadap tertuduh kerana disebabkan seorang individu, orang lain telah menjadi mangsa,” tegasnya.
Berita berkaitan: Pemandu lawan arus didakwa bunuh dua remaja
Katanya, dia bersama ahli keluarga lain masih terkejut dengan kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Hafiz Syamir.
“Arwah seorang yang peramah dan mudah bergaul. Ketiadaannya sangat dirindui.
“Dia juga tidak pernah kedekut dan ringan tulang dalam membantu kami sekeluarga,”ujarnya.
Pada awal pagi 12 September lalu, dua remaja maut apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka dilanggar Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan.
Hasil ujian air kencing mendapati, pemandu kenderaan pikap itu positif dadah jenis ganja.















