fbpx

[VIDEO] Dua remaja maut dilanggar kenderaan lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Proton Wira selepas dilanggar.

SHAH ALAM – Dua remaja maut apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.5 Lebuh Raya Persekutuan awal pagi tadi.

Kedua-dua mangsa dikenali Nur Afiqah Abdul Karim, 18, yang merupakan pemandu dan penumpangnya, Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19,.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.51 pagi.

Katanya, pihaknya yang tiba tujuh minit kemudiannya mendapati kedua-dua mangsa tersepit sebelum berjaya dikeluarkan pihaknya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Berdasarkan maklumat awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 24 tahun secara melawan arus di lokasi kejadian.

“Pacuan empat roda itu kemudiannya bertembung dengan dua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pasukan Bomba cuba mengeluarkan mangsa.

Norazam menjelaskan, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu Mitsubishi Triton itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Kemalangan itu turut tular menerusi video berdurasi 29 saat memaparkan detik-detik insiden tersebut dengan perakamnya menyifatkan pemandu Mitsubishi Triton itu mabuk. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI