KOTA BHARU – Kebanyakan kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah di sini didapati masih lengang meskipun harga pasaran emas kini turun RM250 segram berbanding RM266 minggu lalu.
Seorang peniaga emas, Norewani Mohd. Zulkifli , 23, berkata, harga emas dipercayai jatuh selepas mata wang negara kembali stabil apabila kerajaan membenarkan banyak sektor ekonomi dibuka.
“Meskipun harga emas turun, penjualan emas kurang mendapat sambutan.
“Berdasarkan perbualan dengan orang ramai, mereka kini berada dalam fasa menyimpan wang ekoran bimbang kes Covid-19 kembali meningkat yang mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan semula.
“Harga emas kini turun kepada RM250 segram sejak Khamis lalu, namun peniaga tidak mengalami sebarang kerugian kerana kita masih ada keuntungan dalam menetapkan harga upah barangan kemas,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Norewani, dia mengambil peluang sebaiknya dengan membuka premis setiap hari kerana sudah menutup perniagaan selama hampir tiga bulan ekoran PKP penuh.
Ujarnya, biarpun kurang pelanggan, namun masih ada individu terutamanya wanita yang datang ke premisnya untuk membeli barangan kemas, cuma tidak serancak hujung tahun lalu.
Harga pasaran emas turun mendadak sehingga RM240 segram pada November tahun lalu dan kadar itu antara terendah sejak negara dilanda Covid-19.

Sementara itu, seorang pelanggan, Faridah Derahman, 54, berkata, dia tidak tahu mengenai kejatuhan harga emas ketika ini dan hanya datang ke Pasar Besar Siti Khadijah untuk meninjau corak barangan kemas terkini.
“Apabila sampai di sini, saya lihat harga emas turun, namun hairan apabila tiada pelanggan seperti sebelum ini.
“Saya membeli sebentuk kancing baju kurung emas pada harga RM800. Saya untung sebanyak RM200 apabila barangan kemas itu sebenarnya dijual pada harga RM1,000 pada minggu lalu
berdasarkan harga semasa ketika itu,” ujarnya.
Menurut Faridah, rata-rata peniaga memaklumkan kepadanya bahawa harga emas akan naik semula pada akhir bulan Oktober bergantung kepada nilai mata wang dunia.














