fbpx
SANG Kelembai dikatakan menyumpah istana Kota Gelanggi dan segala isinya menjadi batu. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Kota Gelanggi disumpah jadi batu akibat dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tempat bersejarah di negara ini atau mana-mana sahaja di dunia, pastinya ada cerita menarik yang ada kaitan dengan lokasi berkenaan.

Begitu juga dengan Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang yang mempunyai pelbagai versi tentang kewujudannya. Namun salah satu yang popular adalah tempat itu dikatakan sebuah istana seorang raja pada zaman dahulu yang disumpah menjadi batu oleh Sang Kelembai.

Biarpun kadang-kadang cerita yang dipertuturkan dari mulut ke mulut sejak beberapa generasi itu tidak masuk akal, tetapi sekurang-kurangnya ia adalah sesuatu yang boleh memberi kebanggaan kepada penduduk setempat.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
KOTA Gelanggi di Jerantut, Pahang sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk di Pahang kerana mempunyai gua batu yang unik dan dikatakan menyimpan 1,001 misteri.

Nama Kota Gelanggi dikatakan berasal daripada perkataan Gelang Kiu atau Klang Kio dalam bahasa Thai yang bermaksud Treasure House of Jewels (perbendaharaan permata) merupakan sebuah bandar purba yang disebut di dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Kota Gelanggi merupakan kompleks gua batu kapur terdiri daripada 12 buah gua. Bagaimanapun hanya tujuh gua boleh dilawati iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Kepayang.

Terdapat banyak versi tentang Kota Gelanggi yang menjadi cerita zaman berzaman yang dipertuturkan daripada satu generasi kepada generasi.
Salah satunya adalah seperti diceritakan pesara guru dan aktivis bahasa Pahang, Norzari Yahya.

Katanya, mengikut cerita orang terdahulu, Kota Gelanggi adalah istana seorang raja bertukar menjadi batu kerana disumpah Sang Kelembai yang dikatakan ada kuasa sakti, boleh menyumpah apa sahaja menjadi batu.

Pada masa itu jelasnya, tercetus peperangan antara Raja Mambang dan Raja Usul kerana berebut seorang puteri jelita iaitu anak Raja Gelanggi.

KOTA Tongkat antara rangkaian gua tersergam indah di pintu masuk menjadi tumpuan pengunjung setiap minggu di Kota Gelanggi, Jerantut.

“Anak Raja Mambang dari Lipis jatuh cinta dengan Puteri Gelanggi yang kemudian melamarnya. Lamaran itu diterima Raja Gelanggi, tetapi puteri berkenaan tidak berminat dengan calon suaminya itu.

“Menjadikan cerita ini lebih menarik, kebetulan anak Raja Usul yang memerintah Bera pergi berburu di kawasan berdekatan Kota Gelanggi dan secara kebetulan bersua dengan puteri tersebut. Baginda terus jatuh hati sehinggalah mereka bersetuju untuk berkahwin,” katanya.

Anak Raja Mambang sa­ngat murka apabila mengetahui perkara itu sehingga terjadilah pergaduhan selama beberapa hari dan akhirnya kemenangan berpihak kepada anak Raja Usul.

Baginda kemudian mengahwini puteri Raja Gelanggi selepas berjaya membunuh anak Raja Mambang.

Selepas kemangkatan anaknya, Raja Mambang amat murka dan segera mendapatkan bantuan Sang Kelembai untuk memusnahkan Kota Gelanggi yang bertukar menjadi batu dalam masa beberapa hari akibat sumpahan.

Sehingga kini objek batu menyerupai haiwan dan peralatan tertentu masih wujud di gua itu.

BATU yang menyerupai seekor gajah ini diceritakan secara turun temurun akibat sumpahan Sang Kelembai.

Oleh sebab itulah, pelbagai batuan unik di dalam gua berkenaan seperti berbentuk binatang dan sebagainya sering dikaitkan dengan pelbagai cerita sumpahan Sang Kelembai.

Sementara itu, sejarawan tempatan yang juga penduduk Pulau Tawar, Musa Awang Chik berkata, menurut cerita orang-orang tua di kampung berkenaan, Kota Gelanggi merupakan sebuah kerajaan tua yang menyingkap pelbagai misteri, tetapi bila ia bermula dan berakhir tidaklah diketahui.

“Ia merupakan mitos yang dipertuturkan masyarakat yang perlu lagi dikaji serta dibuktikan oleh pihak tertentu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN