PETALING JAYA – Kelemahan dari segi penguatkuasaan dan isu integriti dalam kalangan badan penguat kuasa antara faktor yang mendorong warga Amerika Latin datang ke Malaysia untuk melakukan kegiatan jenayah.
Pakar kriminologi, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan rakan senegara yang pernah datang ke negara ini mendedahkan kepincangan dan kelemahan tahap penguatkuasaan membolehkan kegiatan tidak bermoral boleh dilakukan di negara ini.
“Mungkin mereka menganggap Malaysia berpotensi dijadikan ‘lubuk jenayah’ ekoran masalah integriti yang serius dalam kalangan penguat kuasa.
“Justeru, mereka menggunakan tiket masuk ke negara ini melalui pas pelancong atau pas pelajar sebelum melakukan kegiatan jenayah sama ada merompak, samun atau pecah masuk rumah rakyat tempatan.
“Kemungkinan juga mereka meletak sasaran tempoh masa berapa lama akan berada di negara ini dan bila capai sasaran, mereka akan kembali ke negara asal bersama hasil jenayah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Melancong untuk merompak
Kosmo! semalam melaporkan kewujudan kumpulan penjenayah dari Amerika Latin yang memasuki negara ini menggunakan pas pelancong sebelum melakukan jenayah.
Lebih membimbangkan, kumpulan ini juga licik apabila menjadikan hotel-hotel bajet sebagai kediaman sementara untuk mengaburi pihak berkuasa.
Akhbar yang juga Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia menjelaskan, pemeriksaan ketat dan warga asing perlu menyenaraikan secara mendalam tujuan masuk ke negara ini termasuk butiran tempat tinggal, belajar di kolej mana seperti yang dilaksana di Eropah.
Sementara itu, Pengusaha MyHotel, James Rajan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan pelanggan-pelanggan hotelnya.
“Kami sememangnya tiada hak untuk bertanyakan kepada mereka tetapi jika ada pelanggan yang menginap lebih seminggu biasanya kami akan lebih berhati-hati.
“Jika ada kegiatan jenayah berlaku, kami akan serta-merta melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Presiden Persatuan Hotel Bajet Dan Bisnes Malaysia, Emmy Suraya menjelaskan, sehingga September hanya 2,300 pengusaha hotel bajet yang mendaftar daripada kira-kira 10,000 pengusaha hotel di seluruh negara.
“Namun, masih ramai lagi pengusaha hotel yang masih tidak berdaftar dengan persatuan kami, justeru, perkara ini amat membimbangkan,” katanya.










