fbpx
SALAH sebuah bot nelayan asing yang disyaki menceroboh dan menangkap hasil laut di perairan Pulau Pinang baru-baru ini. – IHSAN APMM

Ceroboh sebelum kebas hasil laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Perairan Pulau Pinang yang terkenal dengan hasil laut termasuk kepelbagaian jenis ikan kini menjadi ‘lubuk’ kepada kumpulan nelayan dari Indonesia untuk mengaut keuntungan secara haram.

Tidak hanya berani menceroboh sempadan negara, kumpulan nelayan ini yang dipercayai dari Belawan, Medan dan Aceh turut menangkap hasil laut yang terdapat perairan negara, sekali gus memberi kesan kepada hasil pendapatan nelayan tempatan.

Difahamkan, selain kaya de­ngan hasil laut seperti ikan senangin, kembong, tenggiri, tongkol dan bawal, perairan Pulau Pinang yang berdekatan dengan negara jiran turut menjadi faktor kawasan itu kerap diceroboh nelayan asing.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, hasil maklumat yang diterima, pencerobohan biasanya berlaku membabitkan kawasan di dalam perairan negeri dan kawasan pertindihan sempadan Malaysia-Indonesia atau Unresolved Maritime Boundary.

Katanya, biarpun menyedari risiko ditahan pihak berkuasa negara ini yang melakukan rondaan 24 jam sehari, namun nelayan dari negara jiran itu sanggup mengambil risiko demi membawa pulang hasil laut ke negara mereka.

“Mereka akan meninjau kapal penguatkuasa APMM sebelum merentasi sempadan perairan, sekiranya diusir ada yang masih degil untuk masuk semula sejurus kapal APMM beredar.

“Justeru, kita akan terus berada di situ bagi mengelakkan mereka menceroboh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

KEPELBAGAIAN jenis ikan yang terdapat di perairan Pulau Pinang menarik minat nelayan asing untuk menceroboh. – GAMBAR HIASAN

Tambah Abd. Razak, nelayan asing ini juga akan membocorkan bot mereka dan berpura-pura mengalami kerosakan sekiranya ditangkap atau memberi alasan cuba berlindung dari laut bergelora akibat ribut dalam usaha melepaskan diri.

Jelasnya lagi, setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 44 bot nelayan asing daripada 66 bot yang dikesan telah diusir kerana memasuki kawasan Unresolved Maritime Boundary, manakala tiga bot dan 15 nelayan ditahan selepas didapati memasuki pe­rairan negara.

“Angka itu meningkat beberapa kali ganda berbanding hanya enam bot daripada 34 bot yang dikesan telah diusir pihaknya sepanjang tahun lalu.

“Dalam tempoh itu, kita me­n­yita hasil laut bernilai RM12,200 berbanding RM8,597 pada tahun lalu, bahkan jumlah sebenar yang dicuri dianggarkan lebih banyak.

“Nelayan asing ini tertarik dengan perairan Pulau Pinang kerana kaya dengan hasil laut seperti ikan senangin, kembong, tenggiri, tongkol dan bawal.

“Perairan Pulau Pinang juga dijaga dengan baik oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan. Selain itu, perairan ne­geri ini juga mempunyai banyak tukun tiruan di perairan Pulau Rimau ke Pulau Kendi sehinggalah ke sempadan,” katanya.

Abd. Razak berkata, pihaknya akan terus mengawal keselamatan di perairan negeri ini yang berke­luasan kira-kira 14,071.6 kilometer persegi dan panjang pantai 359 kilometer daripada ancaman bot nelayan asing.

“APMM Pulau Pinang mempunyai aset sebanyak tujuh buah bot dan tiga kapal, selain rondaan harian helikopter dan pesawat maritim dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

“Dengan kekuatan kira-kira 150 keanggotan di negeri ini, APMM Pulau Pinang akan terus berkawal 24 jam sehari bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat daripada ancaman,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN