BAGAIMANA perasaan anda apabila terserempak dengan makhkuk halus ketika berlari bersendirian pada waktu awal pagi.
Ini yang berlaku kepada seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Wan beberapa tahun lalu ketika berjoging di salah satu daerah di Melaka.
Dakwanya, dia terserempak dengan jelmaan askar Jepun yang berlari di hadapannya pada satu awal pagi yang sunyi kira-kira pukul 5 pagi.
Dia memberanikan diri untuk meneruskan larian tanpa mempedulikannya, lebih-lebih lagi makhluk itu tidak mengganggunya.
Selepas itu baru dia tahu bahawa kawasan itu suatu ketika dahulu adalah bekas markas tentera Jepun.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
MENJADI rutin harian bagi seorang lelaki dikenali sebagai Pak Wan untuk keluar berjoging di kawasan rumahnya seawal pukul 5 pagi di satru daerah di Melaka.
Bertugas sebagai pengadil bola sepak, dia menjadikan aktiviti sihat itu sebagai salah satu cara untuk mengekalkan kecergasan dan staminanya.
“Saya selalu berjoging bersendirian dan kadangkala ada juga ditemani rakan sekampung.
“Sepanjang berjoging seawal pukul 5 pagi itu, pernah juga teras seperti diperhatikan oleh makhluk lain, selain sering mendengar bunyi-bunyi yang agak menyeramkan,” katanya.
Pak Wan menjelaskan, menurut cerita penduduk setempat, kawasan tempat dia sering berjoging itu pernah menjadi lokasi markas tentera Jepun.
Menurutnya, ada penduduk mendakwa pernah terserempak dengan kelibat lelaki yang berpakaian lengkap seperti askar Jepun sekitar pukul 3 pagi.
Pada mulanya dia sukar untuk mempercayai cerita sedemikian sehinggalah ia berlaku kepada dirinya.
Bercerita lanjut, Pak Wan berkata, pada satu pagi, ketika keluar berjoging dia melihat ada ‘lelaki’ lain yang turut berlari di hadapannya.
“Pada mulanya saya ingatkan itu rakan saya yang kebiasaannya menyertai saya berlari. Dalam keadaan gelap, saya tidak dapat melihatnya dengan jelas.
“Saya cuba mengejarnya bagi membolehkan berlari bersama. Semakin saya kejar, kelibat itu makin jauh meninggalkan saya.
“Saya memanggilnya, tetapi tidak dibalas dan kemudian dalam samar cahaya lampu jalan, dia terus menghilang daripada penglihatan,” ujarnya.
Tambahnya, dalam samar cahaya lampu itu juga, dia perasan orang yang berlari di hadapannya itu berpakaian askar Jepun zaman dahulu.

Jelas Pak Wan, pada ketika itu buku romanya sudah meremang, namun perasaan takut disimpan sahaja dalam hati.
Ketika masih dalam keadaan takut itu, tiba-tiba rakannya menyapanya dari belakang.
“Lega hati saya, lalu bertanya adakah dia yang berlari di hadapan saya. Dia menjawab baru saja memulakan larian.
“Dia kemudian menceritakan, sebelum ini dia juga pernah berhadapan dengan situasi sama,” terangnya.
Sejak itu, Pak Wan beberapa kali berdepan kejadian serupa sewaktu keluar berjoging.
Namun ujarnya, dia hanya memberanikan diri dan tidak mempedulikannya selepas makhluk itu tidak menganggungnya.
Bagaimanapun selepas itu, keberanian Pak Wan sedikit teruji selepas terdengar suara teriakan dan tangisan di kawasan sama temopat dia berjoging itu.
Katanya, dian mendengar seolah-olah suara teriakan seperti orang tengah diseksa.
Menurutnya, pertama kali mendengar dia berhenti dan cuba mencari suara itu, tetapi tidak pula nampak kelibat orang di kawasan terbabit.
“Semakin saya cuba mendekati suara itu dia semakin dalam masuk ke dalam kawasan belukar.
“Saya tidak berani pula nak mencarinya di dalam belukar. Saya biarkan sahaja dan
teruskan aktiviti joging,” katanya.
Tambahnya, mungkin suara teriakan yang dia didengarnya itu adalah satu gangguan dan mungkin di situ pernah menjadi lokasi tentera Jepun menyiksa tahanan.
———————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














