KEPUASAN pemancing terutama di laut bukan terletak pada kehebatan mencari lubuk ikan yang banyak, tetapi dapat menaikkan ikan sama ada kecil atau besar lebih-lebih lagi selepas ‘bertarung’ dalam tempoh tertentu.
Minggu ini, ruangan Gewang memaparkan kegigihan pemancing yang menjadikan tuas berhampiran Pulau Payar, Langkawi, Kedah sebagai lubuk mengail ikan kelas A.
Apa yang lebih membanggakan apabila salah seorang daripada mereka berjaya menjinakkan seekor marlin seberat 30 kg selepas ‘bertarung’ hampir setengah jam.
Lebih mengujakan apabila ikan jenis itu biasanya hanya terdapat di Laut China Selatan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
KEPUASAN menaikkan seekor ikan marlin seberat 30 kilogram (kg) selepas ‘bertarung’ selama kira-kira setengah jam di tuas berhampiran Pulau Payar dekat Langkawi, Kedah pada Julai tahun lalu menjadi kenangan manis buat Mohamad Shukri Abd. Rashid, 50.
Menurutnya, kenangan itu sukar dilupakan kerana ikan jenis itu juga jarang didapati di pantai barat utara Semenanjung.
“Saya berjaya menaikkan ikan marlin di tuas Pulau Payar pada Julai tahun lalu dengan hanya menggunakan joran Penn.
“Pada masa itu, saya hanya memancing atas bot dan apabila ikan itu mula merentap mata kail, saya terpaksa menggunakan kemahiran dengan menarik perlahan-lahan menggunakan tali berukuran 20 paun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, pada ketika itu, beberapa kawannya turut membantu melepaskan bot daripada ikatan tuas mengikut arah ikan itu berenang sebelum berjaya menundukannya.
“Saya bimbang tali joran putus kerana rentapan ikan untuk melepaskan diri sangat kuat, selain keadaan ombak yang kuat pada masa itu.

“Saya nyaris melepaskannya, tetapi dengan semangat dan rasa tercabar dengan ‘mainan’ ikan marlin itu, akhirnya ia tumpas di tangan saya,” ujarnya yang tinggal di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus.
Katanya, ia merupakan pengalaman paling mengujakan sepanjang terlibat dengan aktiviti memancing di laut dalam kira-kira 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, keseronokan menaikkan ikan tersebut hanya sementara sahaja kerana terpaksa melepaskannya kembali kerana ia merupakan spesies yang dilindungi.
“Kami terpaksa melepaskan dengan segera kerana ia tidak boleh lama di darat,” katanya.
Ujarnya, walaupun ikan itu terpaksa dilepaskan, tetapi ia cukup memberi kepuasan kepadanya.
“Cabaran seperti ini menyebabkan saya sentiasa rindu untuk turun memancing di laut dalam,” ujarnya.
Katanya lagi, dia yang mempunyai bot sendiri untuk membawa pemancing ke laut biasanya turun melalui jeti Pengkalan Kubang Rotan di Alor Setar pada pukul 7 pagi dan balik pada pukul 5 petang.
“Antara tukun pilihan kami adalah di Pulau Payar, Pulau Bunting dan Dulang.
“Oleh kerana saya sendiri membina tukun di Pulau Payar, kami selalu ke situ kerana memancing di tukun berkenaan yang tidak pernah menghampakan,” jelasnya.

Tambahnya, memancing di tukun memerlukan mereka menggunakan tiga teknik tertentu untuk menangkap ikan.
Teknik itu adalah menggunakan belon bersama umpan ikan hidup, pancingan bebas dengan umpan gewang, jig dan umpan tiruan.
Selain itu, teknik memancing ikan di dasar laut hanya menggunakan umpan ikan tenggiri, udang dan sotong.















