PETALING JAYA – Beberapa lokasi peranginan tanah tinggi berpotensi dilanda fenomena aliran puing seperti yang berlaku di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar berkata, aliran puing berpotensi berlaku di penempatan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, Bukit Fraser, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah.

Katanya, antara lokasi lain adalah di kawasan yang pernah merekodkan bencana serupa iaitu di Pos Dipang, Perak dan Keningau, Sabah.
“Kawasan lebuh raya di tanah tinggi, walaupun tanpa penempatan juga berisiko kerana boleh melibatkan kenderaan dan manusia selain mengakibatkan kerosakan kepada lebuh raya.
“Kejadian sebegini pernah berlaku di kawasan Gua Tempurung dan Rawang di Lebuh Raya Utara-Selatan serta di Lentang dan Genting Sempah di Lebuh Raya Karak dan jalan susur ke Genting Highlands.
“Kawasan yang berisiko dikaitkan dengan unsur-unsur kehilangan nyawa dan harta benda serta infrastruktur kritikal seperti jalan raya, paip air dan kabel elektrik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pakar geobencana, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo pula berkata, semua kawasan kaki pergunungan seperti Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang di Semenanjung serta Banjaran Crocker di Sabah berpotensi besar berlakunya aliran puing.
“Sehingga kini, tempat berlakunya kejadian ini yang pernah direkodkan ialah Genting Sempah pada 1995 (20 kematian), Keningau (200 kematian) dan di Pos Dipang Perak (44 kematian).
“Ciri utama kawasan yang berpotensi ialah aliran sungai dari kawasan pergunungan melalui lembah yang sempit. Kebanyakan bencana berlaku apabila terdapat perkampungan di tepi alur sungai di bahagian kaki gunung atau jalan kawasan pergunungan yang melalui lurah sempit.
“Kebanyakan kejadian tidak diketahui dan direkodkan kerana tidak menyebabkan kerosakan harta atau kehilangan nyawa,” jelas Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia itu.
Sementara itu, mengulas lanjut ciri-ciri kawasan berpotensi berlaku aliran puing, Pensyarah Kanan, Jabatan Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Goh Thian Lai berkata, aliran puing merupakan fenomena semulajadi yang biasa berlaku di cerun yang curam pada bahagian hulu dan kawasan pertengahan lurah sungai di kawasan tadahan air.
Beliau berkata, aliran puing merupakan aliran air yang tepu dengan pasir, tanah, tongkol dan kelikir di dalamnya.
Katanya, ia terbahagi kepada tiga komponen atau zon iaitu zon sumber, zon pengangkut dan zon longgokan atau zon impak yang bergantung pada sudut kemiringan dasar aliran.
“Bagi zon sumber, dasar sungai yang curam bertindak sebagai sumber sedimen, manakala sudut kemiringan dasar sungai mestilah berada antara 15 sehingga 30 darjah. Sungai ini dinamakan sebagai torrent (sungai aliran deras) dan kebiasaannya berbentuk huruf V.
“Sudut kemiringan cerun di tepi torrent biasanya melebihi 40 darjah untuk berpotensi berlakunya tanah runtuh, manakala sedimen daripada tanah runtuh terkumpul di dasar sungai menjadi sumber bahan aliran puing.
“Sedimen ini akan terangkut ke zon longgokan apabila mempunyai daya pengangkutan air yang mencukupi yang dihasilkan hujan lebat dengan kejadian tanah runtuh di cerun torrent boleh menyebabkan berlakunya empangan tanah sementara,” katanya.
Tambahnya, bagi zon angkutan yang mempunyai bekalan dan daya pengangkutan air yang mencukupi serta sudut kemiringan dasar sungai antara enam sehingga 15 darjah, bahan sedimen aliran puing akan diangkut sehingga ke zon longgokan dengan torrent di bahagian tersebut biasanya berbentuk huruf U. -K! ONLINE















