fbpx
AIZUN menunjukkan ikan patin buah (kanan) dan ikan kerai yang ditangkap di Sungai Pahang sebelum dijual kepada pelanggan di Temerloh baru-baru ini.

Patin muncung harga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Nelayan dan penjual hidupan air tawar mendedahkan ikan patin muncung kini ibarat seperti emas ekoran spesies itu kian terancam dan kelibatnya tidak lagi kelihatan apatah lagi menerjah jaring atau perangkap yang dipasang di Sungai Pahang sejak tujuh tahun lalu.

Rata-rata mereka mendakwa, sekiranya berjaya ditangkap, harga ikan itu mencecah RM450 sekilogram dan peminatnya sanggup mengeluarkan duit untuk membelinya kerana rasa isinya yang halus, manis dan enak jika dimasak tempoyak atau kukus.

Seorang penjual ikan, Aizun Zainudin, 49, memberitahu, permintaan terhadap ikan itu begitu tinggi, namun bekalan amat sukar diperoleh kerana ikan patin muncung seakan sudah pupus sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, kali terakhir dia melihat ikan itu ialah kira-kira 10 tahun lalu apabila berjaya menangkap tujuh ekor patin muncung seberat empat kilogram.

“Sekarang duit ada tetapi ikan pula tiada. Walaupun harganya mencecah RM450 sekilogram, namun peminat ikan air tawar tidak peduli dan membuat tempahan awal sekiranya ada tangkapan patin muncung.

“Siapa berjaya tangkap patin muncung, dia seumpama mendapat emas. Kalau tuba Sungai Pahang sekalipun tidak dapat dah sebab sudah pupus hinggakan Jabatan Perikanan pun tidak berjaya dapat ikan itu untuk dibuat benih,” katanya kepada Kosmo!.

AZIZAN ABDUL RAHMAN (belakang) bersama rakannya menunjukkan ikan patin buah yang berjaya ditangkap di Sungai Pahang berhampiran Kampung Pangsenam di Temerloh baru-baru ini.

Tambahnya, ikan berkenaan ditangkap menggunakan pukat atau rawai dan nelayan biasanya akan dapat menangkap ikan itu dengan jumlah yang banyak ke­rana ia bergerak secara berkumpulan di kawasan cetek.

Menurut Aizun, suasana akan menjadi riuh jika dimaklumkan nelayan dapat tangkap seekor ikan itu dan pasti ramai akan pergi ke kawasan yang didakwa untuk menangkapnya kerana ia bagaikan mencari emas.

“Mungkin sebab patin muncung berada di kawasan cetek menyebabkan ia senang pupus tidak macam patin buah yang sering berada di kawasan-kawasan yang dalam,” katanya.

Patin muncung

Seorang lagi nelayan, Azizan Abdul Rahman, 30, berkata, ketika ini mereka hanya bergantung kepada tangkapan patin buah yang turut memberi pulangan lumayan iaitu RM160 sekilogram.

“Ia sering ditangkap penduduk dengan menggunakan kaedah merawai, memancing atau pukat. Spesies itu masih banyak dan baru-baru ini saya dapat menangkap ikan itu seberat lebih empat kilogram berhampiran Kampung Pangsenam di sini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pagi di Jerantut, Marzuki Mohamad, 46, mengakui agak sukar untuk mendapat pa­tin muncung khususnya di Taman Negara Jerantut kerana ia sering berada di kawasan berpasir di sekitar Temerloh.

“Dahulu saya pernah dapat seekor di Temerloh itu pun anak patin muncung sahaja. Mungkin ia mulai pupus kerana ketiadaan makanan iaitu etak yang pernah diambil dengan banyak untuk dijual,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Perikanan perlu melakukan sesuatu untuk menghasilkan benih ikan tersebut kerana generasi sekarang tidak pernah melihatnya apatah lagi merasai keenakan isinya.

 

Mula terancam kerana tiada etak, siput

 

TEMERLOH – Populasi ikan pa­tin muncung dikatakan mengalami kepupusan akibat tekanan permintaan dan ancaman terhadap habitatnya.

Ikan patin yang berbentuk muncung memanjang, hujung depan langsing, mulut sempit dan bergigi kecil itu dikatakan warisan istimewa yang hanya terdapat di Sungai Pahang.

Patin muncung merupakan antara ikan sungai kelas satu selain empat lagi spesies patin di Pahang iaitu patin buah, patin juara dan patin seperti juara.

Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, sebelum ini ikan tersebut dengan mudah didapati di sepanjang Sungai Pahang dari arah Sungai Tembe­ling, Jerantut sehingga ke hilir di daerah Pekan, namun ia tidak lagi ditemui ketika ini.

Katanya, ikan itu perlu diklasifikasikan sebagai terancam dan memasuki senarai merah Kesa­tuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

“Induknya juga sukar diperoleh. Ia amat sensitif kepada perubahan persekitaran dan tabiat pemakanan yang selektif.

“Ia gemar makan etak iaitu haiwan bercengkerang dari jenis siput dan menjadi faktor ia agak sukar untuk didomestikasi,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Perikanan turut menawarkan bayaran munasabah kepada nelayan sekiranya dapat menangkap ikan muncung untuk dibuat benih di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Je­rantut.

Menurut Abdullah, berbeza dengan patin buah kerana spesies itu masih mudah didapati di Sungai Pahang.

“Ia mempunyai mata kecil dan secara semula jadi ditemukan di sungai besar yang mempunyai lubuk dalam dan ia menggemari buah ara sebagai makanannya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN