IBU adalah permata hati bagi setiap insan di dunia dan tanpanya, kita tidak kenal dunia yang penuh keindahan ini.
Dari Mahkamah Syariah Minggu ini, dipaparkan kisah rumah tangga yang bergolak dan berakhir dengan perceraian selepas seorang suami mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sedang sakit.
Kisah ini perlu diambil iktibar oleh semua memandangkan ibu adalah segala-galanya dan Islam sendiri mengangkat martabat ibu dengan menjelaskan, tidak akan mencium bau syurga bagi mereka yang menderhaka kepada ibu sendiri.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PERKAHWINAN Amin dan Siah (bukan nama sebenar) tampak cukup sempurna dan bahagia selepas melayari bahtera rumah tangga selama hampir sedekad.
Sepanjang tempoh tersebut, pasangan yang berusia sekitar awal 40-an itu telah dikurniakan dua cahaya mata yang berusia antara lapan hingga lima tahun.
Pasangan tersebut menetap di ibu kota memandangkan Amin berkhidmat sebagai kakitangan awam di Putrajaya, manakala Siah merupakan jurujual di salah sebuah syarikat telekomunikasi berhampiran.
Dalam perkahwinan, Amin banyak mengalah dengan kehendak Siah semata-mata bagi memenuhi setiap keinginan isteri serta mengelak berlakunya pergaduhan antara mereka.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitulah juga perkahwinan Amin dan Siah. Kali ini, ujian yang diterima oleh pasangan tersebut cukup berat.
Segalanya bermula selepas ibu Amin yang menetap seorang diri di kampungnya di Kedah jatuh sakit selepas tergelincir di dalam bilik air.
Memandangkan Amin merupakan anak tunggal lelaki, manakala dua adik perempuannya telah berumah tangga, maka dia merupakan individu yang bertanggungjawab menjaga ibu.
Ibu Amin yang berusia 70-an tidak boleh berjalan akibat impak pada tulang belakangnya ketika terjatuh. Situasi ini memaksa Amin untuk mengambil cuti untuk menjaga ibunya.
Amin pulang ke kampung bersama Siah selama seminggu bagi melihat dan menjaga ibunya. Selepas seminggu berlalu, keadaan ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan positif.
“Selama ini, ibu tinggal seorang diri di kampung. Segala kerja dilakukan bersendirian. Kadang-kadang adik-adik saya yang tinggal di kawasan sekitar ada datang tengok.
“Selepas ibu tidak boleh berjalan, tidak ada siapa boleh jaga dia. Adik-adik saya telah berkahwin dan mereka juga bekerja. Jadi, saya serba salah untuk tinggalkan ibu seorang diri,” ujarnya.
Disebabkan itu, Amin telah berbincang dengan Siah untuk meminta keizinan membawa ibunya tinggal bersama mereka di ibu kota.
Malangnya, idea tersebut ditolak oleh Siah memandangkan mereka berdua bekerja dan tidak ada siapa yang boleh menjaga ibunya di rumah.

Akibat tidak ada kata putus, Amin memilih untuk mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan bagi menjaga ibunya di kampung. Lagi pula, ibunya tidak selesa tinggal bersama Amin di ibu kota.
“Biasalah orang tua-tua, mereka tidak mahu tinggal bersama kita di bandar kerana ada haiwan ternakan untuk diberi makan. Mereka juga lebih selesa duduk di kampung kerana lebih tenang.
“Puas saya pujuk ibu tinggal bersama kami di ibu kota, tetapi dia menolak. Jadi, saya tidak ada pilihan kecuali ambil cuti tanpa gaji dan pulang ke kampung,” imbaunya.
Disebabkan tindakan tersebut, Siah telah memberontak tidak puas hati kerana terpaksa berpisah dengan suaminya untuk tempoh lama.
Malah, Siah tergamak menyuruh Amin menghantar ibunya ke pusat jagaan orang tua untuk mencari jalan keluar mudah daripada permasalahan tersebut.
“Tidak mungkin saya sanggup membiarkan ibu saya tinggal di pusat jagaan orang tua-tua. Dia jaga kami adik-beradik seorang diri, jadi sudah tiba masanya saya jaga ibu pula,” katanya.
Siah terpaksa mengikutkan kemahuan suaminya untuk menjaga ibu lelaki itu di kampung.
Selepas sebulan berlalu, Amin memilih menyambung cuti tanpa gajinya selama dua bulan lagi.
Sewaktu Amin pulang ke ibu kota untuk menyambung cuti tanpa gajinya, Siah kelihatan sangat marah dengan tindakan suaminya itu.
Disebabkan itu, Siah telah memberi kata dua kepada Amin supaya membuat pilihan sama ada hidup bersamanya atau menjaga ibu di kampung.
“Ketika itu, saya memang dalam keadaan serabut, jadi saya telah menceraikan Siah untuk pulang ke kampung menjaga ibu. Saya sentiasa percaya, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
“Lagipun kesihatan ibu semakin menyusut, saya tidak mahu menyesal seumur hidup kerana membiarkannya hidup seorang diri hingga akhir hayatnya,” ujarnya.
Kes perceraian mereka telah dibawa ke mahkamah syariah. Sewaktu perbicaraan berlangsung mereka saling menyalahi antara satu sama lain.
“Seingat saya, hakim tidak menyalahkan saya dalam konflik ini. Ia disebabkan tanggungjawab saya sebagai anak lelaki tunggal untuk menjaga ibu yang sakit.
Sebaliknya, hakim menegur Siah kerana sikapnya yang tidak boleh bertolak-ansur.
“Hakim kata, andai ibu Siah sakit, dia juga akan mengambil tindakan yang sama bukan?” katanya.
Selang sebulan, ibu Amin ditakdirkan telah pulang ke alam abadi. Amin memaklumkan, dia berasa sangat puas dapat berbakti kepada ibunya meskipun terpaksa melepaskan insan dicintai.














