KEMASYHURAN Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadikan peminat fanatik kelab-kelab yang bertanding di liga itu bermain dalam Fantasy Premier League (FPL) sebagai pengurus.
FPL yang mula popular tujuh tahun kebelakangan ini mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Tidak mahu ketinggalan, akhbar Kosmo! turut melancarkan saingan Liga Fantasi Kosmo! bagi saingan musim 2021/2022 yang menggunakan platform Fantasy Premier League (FPL) sejak minggu lalu.
Sambutan yang diberikan oleh peminat saingan EPL untuk bertanding dalam Liga Fantasi Kosmo! cukup memberangsangkan dengan jumlah penyertaan lebih 5,000 pasukan untuk minggu pertama sahaja.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–PADA petang Sabtu lalu, benak fikiran pemuda berusia 26 tahun itu mula celaru apabila melihat aksi memukau pemain tengah Manchester United (MU), Bruno Fernandes menjaringkan hatrik dalam perlawanan permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sewaktu bertemu Leeds United.
Irfan Burhanuddin atau lebih dikenali sebagai Pandin Bruyne bimbang dengan aksi hebat penjaring prolifik itu memandangkan dia tidak meletakkan Fernandes sebagai kapten dalam pasukan Fantasy Premier League (FPL). FPL ialah permainan fantasi bola sepak EPL berdasarkan mata yang diberikan mengikut prestasi sebenar pemain yang dipilih di atas padang.
Berbanding Fernandes, Irfan sebaliknya menaruh kepercayaan kepada penyerang Liverpool, Mohamed Salah sebagai kapten yang akan bermain pada awal pagi Ahad dalam pasukan diuruskannya, Champonez FC.
Irfan risau sekiranya Mohamed Salah gagal menunjukkan prestasi seperti Fernandes sekali gus menyebabkan pasukannya ketinggalan jauh berbanding pesaing-pesaing lain dalam liga FPL disertainya.
Rentetan itu, dia sanggup berjaga awal pagi semata-mata untuk menyaksikan perlawanan antara Norwich City menentang Liverpool menerusi kaca televisyen di rumah bagi melihat Mohamed Salah beraksi.

Kebimbangan Irfan terlerai apabila Mohamed Salah beraksi cemerlang dengan kejayaan membuat dua bantuan gol serta meledak satu jaringan pada minit-minit akhir perlawanan yang berakhir dengan keputusan 3-0.
“Saat Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol, saya berasa sangat lega. Walaupun Mohamed Salah hanya mengumpul 17 mata berbanding Fernandes 20 mata, namun jurang tersebut tidak terlalu jauh sekali gus membolehkan pasukan saya mengejar pasukan-pasukan lain.
“Saya turut bermain dalam liga bersama rakan-rakan. Saya risau apabila mata pasukan rendah dan duduk di dasar liga, nanti mereka ketawakan saya,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Itulah sebahagian daripada keseronokan dan keghairahan dialami sebahagian besar pengurus FPL. Liga yang mula popular tujuh tahun kebelakangan ini mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Sehingga kini, di dunia, jumlah pemain FPL musim ini ialah 6,894,454 orang. Para pengurus FPL perlu memilih 15 pemain dalam pasukan dengan dua penjaga gawang, lima pertahanan, lima pemain tengah dan tiga penyerang.
Bagaimanapun, hanya 11 pemain dibenarkan beraksi, manakala selebihnya diletakkan di bangku simpanan. Jika ada pemain sebenar tidak bermain, maka mata pemain simpanan akan diambil kira.
FPL berlangsung selama 38 minggu dan pasukan yang mengumpul mata tertinggi diisytiharkan sebagai pemenang dalam liga sama ada peringkat Malaysia mahupun global.
Irfan telah mencipta sensasi pada musim lalu apabila berjaya mengharumkan nama negara dengan menjadi pemain ke-17 FPL di dunia sekali gus No.1 di Malaysia.
Menurut pemuda berasal dari Sungai Petani, Kedah itu pencapaian tersebut tidak mudah, malah dia kecewa apabila taktiknya tidak berkesan apabila tersilap memilih pemain.

“Jika saya memilih pemain yang tepat pada minggu ke-38 mungkin pasukan saya boleh berada dalam kedudukan 10 teratas atau muncul lima terbaik di dunia pada musim lalu.
“Saya pilih Mohamed Salah pada minggu itu, malangnya beliau gagal membantu pasukan saya. Mata keseluruhan yang diperoleh saya adalah 2,632 mata berbanding pemenang pertama FPL dunia, Michael Coone (2,680 mata),” ujarnya yang menyifatkan pencapaian luar biasa pada musim lalu dalam FPL lebih kepada faktor nasib dan sukar mengulanginya pada musim-musim akan datang.
Sementara itu, Rueben Thevandran atau mesra disapa Burn, 39, pula bermain FPL sejak enam tahun lalu seiring dengan minat terhadap pasukan EPL, Newcastle United.
Pengulas sukan Astro Arena itu memaklumkan, permainan FPL menawarkan keseronokan sambil menguji kebolehan pengurus membuat pilihan pemain yang tepat bagi memastikan pasukan mendapat mata tinggi.
“Saya main FPL ini secara suka-suka sahaja dengan kawan-kawan yang minat EPL. Saya ada sertai beberapa liga dengan rakan-rakan termasuk bersama para peminat pasukan Newcastle United.
“Setiap musim, saya main FPL disebabkan keseronokan ditawarkannya. Bagi saya tidak perlu johan peringkat dunia, cukup menang liga bersama kawan-kawan. Itu pun sudah membanggakan,” jelasnya.
Memandangkan musim FPL 2021/2022 baru bermula hujung minggu lalu, Burn berharap dia tidak mengulangi kesalahan yang sering dilakukan pada musim-musim sebelum ini sehingga membuatkan pasukannya hilang banyak mata.
Tegasnya, dia gagal mengawal perasaan dan keinginan sehingga membawa kepada pemilihan pemain yang salah apabila melihat mata pasukan jauh tertinggal berbanding pencabar lain.
“Saya ini seorang yang suka mengambil risiko. Apabila lihat mata pasukan rendah, saya mulalah merombak pasukan dengan memilih pemain-pemain yang diharap mampu memberi mata tinggi.
Selalunya pemain-pemain yang saya pilih itu tidak mengena sehingga menyebabkan pasukan hilang banyak mata. Musim ini saya harap dapat jadi seorang pengurus yang sabar dan tidak mengambil tindakan terburu-buru,” katanya.

Burn juga memberitahu, dia bakal membina pasukan FPL pada musim ini berdasarkan dua tonggak utama iaitu pemain MU, Jordan Sancho serta penyerang baharu Chelsea, Romelu Lukaku.
Kerancakan permainan FPL kian bertambah apabila ada pihak yang menganjurkan liga secara percuma atau mengenakan yuran dengan menawarkan pelbagai hadian lumayan.
Antara pihak yang menganjurkan liga FPL pada tahun ini termasuk akhbar Kosmo! yang menganjurkan Liga Fantasi Kosmo! dengan menawarkan hadiah utama berjumlah RM50,000.
Presiden Persatuan Pengurus Fantasi Bola Sepak Malaysia (PPFBM), Mohd. Sarfawi Abdul Latiff memaklumkan, FPL di negara ini menunjukkan perkembangan positif.
Jelasnya, ia boleh dilihat daripada aspek pertambahan jumlah pengurus baharu pada setiap musim selain peningkatan pertandingan berbentuk liga sama ada percuma atau berbayar.
“FPL ini mempunyai pengikutnya tersendiri terutamanya mereka yang meminati pasukan EPL seperti MU, Liverpool, Manchester City, Chelsea dan Arsenal. Jadi, tidak hairanlah jumlah pengurus baharu bertambah.
“Lagi pula, permainan FPL ini sangat mudah dengan setiap pengurus hanya perlu memilih pemain kegemaran mereka di setiap posisi merusi aplikasi atau laman sesawang FPL,” jelasnya.
PPFBM satu-satunya persatuan FPL yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak tahun 2019. Sehingga kini jumlah ahli berdaftar adalah lebih 1,000.

Matlamat utama penubuhan persatuan terbabit adalah untuk mengumpul pengurus-pengurus FPL di negara ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk penyatuan.
Ujar Mohd. Sarfawi, pihaknya menasihati para pengurus supaya tidak terlalu ghairah menyertai pertandingan liga yang mengenakan bayaran tertentu kononnya menawarkan hadiah lumayan.
Dia memaklumkan, PPFBM menerima banyak aduan daripada para pengurus yang ditipu penganjur pertandingan liga FPL apabila ingin menuntut hadiah yang dijanjikan.
“Kami menerima banyak kes pengurus yang telah ditipu penganjur. Jadi, apa yang boleh kami membantu adalah menyelesaikan kes secara rundingan dengan penganjur.
“Kebanyakan penganjur scam ini cuba mendapat keuntungan mudah dengan mengenakan yuran penyertaan serendah RM20 bagi setiap pasukan. Apabila liga hampir tamat penganjur hilangkan diri,” katanya.














