fbpx
RAWATAN kanser lidah menggunakan HyBIRT tidak memerlukan pemotongan lidah sebaliknya penusukan aplikator yang ditusuk dari dagu.

USM rintis rawatan kanser lidah HyBIRT tanpa pemotongan lidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dikenali sebagai Hybrid Barchytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) ia merupakan teknik modifikasi dua kaedah rawatan kanser radioterapi luaran (IMRT) dan brachytherapy.

HyBIRT ditemukan tiga pakar di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Pulau Pinang iaitu pensyarah perubatan bidang otorinolaringologi, Dr. Muhamad Yusri Musa; pakar onkologi, Dr. A. Gokulakumar dan ahli fizik perubatan, Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz.

Ia merawat kanser lidah tanpa menjejaskan fungsi tubuh sekali gus menjadikan IPPT satu-satunya institusi perubatan menawarkan rawatan ini di Malaysia dan Asia Tenggara.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

DUA tahun lalu, Mohd. Azhar Mohd. Nor, 55, hampir berputus harapan apabila dia disahkan menghidap kanser lidah tahap tiga.

Menurut Mohd. Azhar, perkataan kanser lidah ternyata asing buatnya memandangkan ketika dia didiagnosis dengan penyakit tersebut, itulah kali pertama dia mengetahui kewujudan penyakit tersebut.

Sebaik mendengar kebarangkalian lidahnya dipotong bagi membuang sel kanser, dia mula tidak keruan.

“Saya hanya mengetahui menghidap kanser lidah selepas menyedari permukaan lidah ditumbuhi ulser selama empat bulan.

“Pada masa itu, saya dimaklumkan bahawa rawatan lazim yang perlu saya jalani untuk mengelak kanser daripada merebak ialah pembedahan yang melibatkan pembuangan lidah,” katanya kepada K2.

Kanser lidah dikategorikan dalam kumpulan besar kanser mulut. Ia merujuk kepada ketumbuhan malignan pada lidah dan boleh merebak serta membahayakan nyawa pesakit.

Laporan terkini yang dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan mendedahkan kanser lidah bukanlah termasuk dalam 10 kanser utama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Begitupun, malang sekali kebanyakan pesakit kanser lidah didiagnosis pada tahap tiga dan empat agak tinggi berbanding jenis kanser lain.

Kata Mohd. Azhar lagi, bimbang kehidupannya akan terjejas jika sebahagian lidah dibuang, dia mula meminta rawatan alternatif sebelum doktor di hospital kerajaan yang merawat Mohd. Azhar merujuknya ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ternyata nasib begitu menyebelahi dirinya apabila di sana penjawat awam itu diperkenalkan dengan kaedah merawat kanser lidah yang berupaya menyembuh tanpa memerlukan pembedahan atau pemotongan bahagian yang dijangkiti.

MOHD. AZHAR sewaktu menerima rawatan HyBIRT pada dua tahun lalu.

Dikenali sebagai Hybrid Barchytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) ia merupakan teknik modifikasi atau gabungan dua kaedah rawatan kanser sedia ada iaitu radioterapi luaran dan brakiterapi (brachytherapy).

Kaedah rawatan kanser lidah HyBIRT itu ialah kaedah terbaharu yang ditemukan oleh tiga pensyarah USM yang juga merupakan pakar perubatan di IPPT. Mereka ialah pensyarah perubatan dalam bidang otorinolaringologi, Dr. Muhamad Yusri Musa; pakar onkologi, Dr. A. Gokulakumar dan ahli fizik perubatan, Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz.

Rawatan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2019 selepas menjalani penyelidikan selama tiga tahun. Biarpun rawatan ini telah dipraktikkan sejak dua tahun lalu, namun ia boleh dikatakan belum begitu diketahui ramai.

Mohd. Azhar insan yang bertuah kerana menjadi antara pesakit pertama yang menerima rawatan HyBIRT tersebut.

“Selama lima hari, enam batang jarum ditusuk dari dagu sehingga menembusi bahagian lidah saya bagi memasukkan bahan radioaktif untuk membuang sel kanser.

“Selepas jarum tersebut dibuka, saya perlu menjalani sesi rawatan radioterapi sebanyak 35 kali selain empat sesi kemoterapi. Dengan izin Tuhan, keadaan penyakit saya semakin baik dalam tempoh sebulan lebih tanpa perlu memotong bahagian lidah,” jelasnya.

DARI kiri: Gokulakumar, Mohd. Zahri dan Muhamad Yusri yang merintis inovasi HyBIRT di IPPT, Universiti Sains Malaysia (USM).

Seakan mati hidup semula, Mohd. Azhar menggunakan kesempatan yang ada untuk memberi semangat kepada penghidap kanser lidah supaya tidak berputus asa dan mendapatkan rawatan segera.

HyBIRT telah berjaya merawat pesakit kanser lidah tanpa menjejaskan fungsi tubuh individu sekali gus menjadikan IPPT satu-satunya institusi perubatan yang menawarkan rawatan ini di Malaysia dan Asia Tenggara.

Lebih membanggakan apabila pihak Elekta Brachytherapy Academy yang berpangkalan di Belanda juga telah mengiktiraf IPPT, USM sebagai pusat latihan brakiterapi iaitu satu-satunya pengiktirafan sedemikian di Malaysia.

Radioterapi luaran External Beam Radiotherapy (EBRT) merupakan satu kaedah rawatan kanser lidah sedia ada tanpa pembedahan, namun selama ini ia dianggap kurang berhasil sekali gus pembedahan melibatkan pemotongan lidah lebih banyak dilakukan.

Brakiterapi pula memasukkan bahan radioaktif ke dalam tubuh misalnya dengan mencucukkan jarum atau aplikator, namun usaha tunggal tersebut tidak begitu berjaya untuk merawat kanser lidah. Brakiterapi lebih lazim dibuat bagi merawat kanser pangkal rahim dan prostat.

Maka, muncullah kaedah HyBIRT yang menggabung dan memodifikasi dua kaedah itu bagi merawat kanser lidah.

Menurut Muhamad Yusri, HyBIRT merupakan cetusan inovasi antara beliau bersama Gokulakumar dan Mohd. Zahri.

“Inovasi ini bermula pada tahun 2016 apabila kami melakukan kaedah brakiterapi pertama untuk seorang pesakit kanser lidah kerana pesakit ini termasuk dalam kategori yang tidak sesuai untuk menjalani pembedahan atas pelbagai sebab.

“Sasaran kami pada waktu itu adalah untuk rawatan paliatif dan mengurangkan simptom, bukannya penyembuhan sepenuhnya kerana saiz kanser yang sangat besar. Tetapi. hasilnya agak positif,” ujarnya.

Dari situ, ketiga-tiga pakar ini mula membuat penilaian dan melakukan inovasi serta modifikasi berkaitan brakiterapi. Pada tahun 2019, mereka mula menjalankan rawatan dengan kaedah HyBIRT kepada dua pesakit dan hingga kini kualiti fungsi lidah kedua-dua pesakit itu begitu memuaskan.

Ujarnya lagi, kebiasaannya kaedah utama rawatan kanser lidah adalah melalui pembedahan membuang bahagian kanser dan ini sangat bergantung kepada saiz kanser.

“Kebiasaannya di negara kita, pesakit perlu melalui kedua-dua kaedah rawatan iaitu pembedahan dan radioterapi kerana tahap kanser yang tinggi iaitu pada tahap tiga dan empat.

“Masalah yang sering dihadapi ialah pesakit kita agak takut untuk melakukan pembedahan walaupun pada peringkat awal kanser. Kadang-kadang pesakit mengambil risiko mencuba rawatan tradisional dan alternatif, namun akhirnya kembali semula ke hospital apabila sudah terlalu teruk,” tambahnya.

Ujarnya lagi, menerusi kaedah HyBIRT, pesakit ditawarkan alternatif lebih baik tanpa menjejaskan fungsi keseluruhan lidah atau pemotongan.

“Kaedah ini melibatkan dua fasa rawatan iaitu fasa pertama menggunakan teknik brakiterapi dan fasa kedua diikuti dengan teknik radioterapi luaran EBRT dan kemoterapi secara berturut-turut.

“Prosedur untuk memasukkan aplikator brakiterapi juga perlu dimasukkan secara pembedahan minor yang kebiasaannya mengambil masa antara satu ke dua jam. Pesakit yang tidak mampu melalui proses bius penuh juga boleh menjalani HyBIRT.

“Kedua-dua teknik ini telah digabungkan berserta modifikasi tambahan dan mengambil masa lebih 40 hari untuk dilaksanakan. Menerusi kaedah ini juga hampir kesemua tahap kanser lidah boleh dirawat termasuk tahap empat melainkan jika kanser sudah merebak pada pangkal lidah, kerongkong atau tulang rahang,” jelasnya.

APLIKATOR yang digunakan dalam rawatan HyBIRT.

Ujar Muhamad Yusri lagi, secara tidak langsung pihaknya berjaya menambah satu lagi teknik rawatan untuk dipilih oleh pesakit berbanding dua teknik sedia ada sebelum ini. Malahan, ia memberi faedah tambahan dan pilihan lebih meluas untuk para pesakit kanser lidah.

“Kesan sampingannya adalah tidak banyak berbeza dengan rawatan sedia ada. Antaranya kesan-kesan berkaitan radioterapi seperti kering mulut, pedih dan kesukaran menelan semasa fasa rawatan.

“Bagaimanapun, pesakit biasanya akan kembali pulih secara beransur-ansur dan fungsi lidah akan menghampiri tahap seperti sebelum menghidap kanser biarpun tidak semestinya seratus peratus sama,” katanya.

Katanya, selepas menjalani tempoh rawatan, tempoh pemulihan awal mengambil masa antara dua hingga empat minggu. Sebahagian besar tempoh rawatan pesakit berada di rumah atau berulang-alik dari rumah.

Terangnya, sehingga kini, seramai 10 orang pesakit berjaya dirawat menggunakan kaedah ini. Lebih mengagumkan apabila daripada jumlah itu, lapan pesakit berjaya sembuh sepenuhnya selepas rawatan dengan fungsi lidah yang hampir sempurna.

“Kami menjangkakan apabila teknik ini mencapai bilangan pesakit yang lebih ramai dengan tahap kesembuhan yang baik, ia akan berkembang dan diguna pakai dengan lebih meluas. Ini akan memberikan manfaat besar kepada pesakit di negara kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN