SEORANG anak muda yang juga mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor seronok menjalankan kerja-kerja sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Integrasi, UTM.
Menurut Mohd. Affifudin Abdul Patar, 26, selain dapat berkhidmat kepada masyarakat untuk melancarkan pemberian vaksin, ia juga dapat meningkatkan nilai tambah buat dirinya sebagai seorang mahasiswa dengan mengasah kemahiran kendiri.
Katanya, biarpun begitu, terdapat suara-suara sumbang yang memperlekehkan sumbangan yang diberikan olehnya itu dengan pelbagai tohmahan liar, namun semua itu tidak dihiraukannya demi membantu orang ramai yang datang untuk menerima vaksin semampu mungkin.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
MENJADI sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan sahaja dapat mengutip pengalaman berharga, namun turut membentuk jati diri sebagai mahasiswa pusat pengajian tinggi yang lebih prihatin.
Selain memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara, ia juga mampu mengasah kemahiran kendiri individu terbabit.
Bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetuai kumpulan sukarelawan di PPV Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Integrasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Mohd. Affifudin Abdul Patar, 26, menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan nilai tambah buat dirinya sebagai seorang mahasiswa.
“Sepertimana diketahui umum, kemahiran kendiri kini menjadi penentu seseorang graduan itu untuk mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian.
“Di PPV IPT Integrasi, UTM sebagai contoh, sukarelawan yang bertugas berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat yang datang.
“Ini menjadi peluang terbaik bagi mahasiswa untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah dihadapi, sekali gus mengasah bakat kemahiran kendiri yang ada pada diri,” katanya.
Menurut Mohd. Affifudin, penyertaan sukarelawan penting bagi membolehkan PPV yang dibuka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Bukan itu sahaja, mahasiswa boleh menganggap penglibatan mereka di PPV sebagai satu cara menabur bakti kepada masyarakat seperti mana dilakukan ketika menyertai program khidmat komuniti anjuran universiti.

Pelajar jurusan Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal itu tidak terlepas daripada berdepan persepsi negatif segelintir mahasiswa lain selepas menjadi sukarelawan di PPV tersebut.
Antaranya, dia dikatakan mudah dijangkiti Covid-19, selain mahu mendapatkan vaksin dengan cara yang cepat dan mudah.
Jelas anak bongsu daripada dua beradik itu, persepsi tersebut seharusnya tidak timbul dalam kalangan mahasiswa.
Sebaliknya, ujar Mohd. Affifudin, mereka sepatutnya bersamasama berkhidmat di PPV yang dibuka di universiti masing-masing.
Baginya, isu sedemikian tidak timbul kerana kebajikan mereka di PPV sentiasa terjaga.
“Alhamdulillah, setakat ini semua sukarelawan kami sihat. UTM menjaga kebajikan semua sukarelawannya dengan menyediakan semua kelengkapan bertugas seperti pelindung muka, pelitup muka, sarung tangan, pencuci tangan dan lain-lain lagi demi keselamatan.
“SOP (prosedur operasi standard) juga ketat dan tiada kompromi diberikan dalam sesetengah perkara bagi mengelak penyebaran virus di PPV.
“Sukarelawan juga dikira sebagai petugas barisan hadapan dan mereka layak divaksin awal.
“Menerusi perlindungan tambahan inilah, kami boleh meyakinkan orang ramai tentang keselamatan mereka sewaktu berada di PPV,” ujarnya.

Katanya, setiap hari dia bersama 87 mahasiswa lain bertugas di PPV terbabit dalam dua syif iaitu pada pukul 7.30 pagi hingga 3 petang dan 2 petang hingga 10 malam.
Mula dibuka pada 19 Julai lalu, PPV itu mampu memberikan suntikan vaksin kepada 1,500 orang sehari.
Kata Mohd. Affifudin, dia gembira kesungguhan dan kerja keras pasukannya mendapat pujian atas kelancaran proses pemberian vaksin.
Pujian itu, jelasnya menunjukkan mereka betul-betul komited dalam menjalankan tugas.
“Paling terharu apabila ada antara penerima vaksin membawa buah tangan untuk kami seperti coklat. Perkara kecil seperti inilah dapat menghilangkan rasa penat ketika bertugas,” tambahnya.














