KUALA LUMPUR – Larian IJM Allianz Virtual Highway 2021 yang kali pertama dianjurkan secara virtual berjaya mendapat sambutan menggalakkan dengan melebihi jumlah 3,000 peserta.
Jumlah penyertaan itu adalah sesuatu yang mengejutkan penganjur sejak sesi pendaftaran dibuka pada 1 Mei lepas sebelum tempoh larian dilanjutkan sehingga hujung bulan lalu.
Timbalan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya berterima kasih atas sokongan padu para peserta meskipun tidak dapat menganjurkan IJM Allianz Duo Highway Challenge seperti kebiasaannya berikutan situasi pandemik Covid-19.
“Kami harus menganjurkannya untuk komuniti yang meminati aktiviti larian ini bagi meneruskan amalan hidup sihat. Kami berharap anda seronok menyertai larian ini.
“Menariknya mengenai larian virtual, anda tidak perlu melakukannya mengikut masa ditetapkan. Anda boleh melakukannya bila-bila masa atau beberapa kali yang anda suka. Rekodkan larian anda dan cabar peserta lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chun Fai turut berharap agar keadaan kembali normal tahun depan sekali gus membolehkan pihaknya menganjurkan semula larian maraton berkenaan seperti biasa di atas jalan raya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, pihaknya gembira untuk meneruskan kerjasama dengan IJM Corporation Berhad bagi meneruskan larian berkenaan bagi edisi kelima.
“Salah satu contoh terbaik adalah larian secara maya ini dan kami menyokong inisiatif IJM untuk meneruskan aktiviti sihat ini dalam persekitaran yang selamat untuk orang ramai,” katanya.
Tiga kategori larian virtual dipertandingkan iaitu Lets Run, Hit The Wall dan My Way, My Forte bagi memenuhi cita rasa peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kehendak serta lapisan umur. – K! ONLINE