fbpx
ABDUL RANI terkenang kejadian tersebut sewaktu membaca buku 69 Komando; Lahad Datu Mac 2013 baru-baru ini.

Memori berdarah pertempuran di Lahad Datu, Sabah 2013

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tepat pukul 9.50 pagi hari itu, dua anggota Tentera Kesultanan Sulu (RSF) yang berdiri di belakang seorang lelaki dipercayai ketua mereka tanpa berlengah melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah dua anggota peninjau pasukan C, 69 Komando yang hanya berada kira-kira 15 meter di hadapan mereka.

Serentak itu juga dentuman tembakan bertalu-talu dilepaskan oleh lain-lain anggota RSF yang kemudiannya mara ke hadapan.

Sebaik mendengar tembakan itu, dua anggota peninjau pasukan C yang paling hadapan bertindak serta-merta berlindung di sebalik pokok kelapa sawit. Tembakan musuh telah menghentam batang kelapa sawit yang menjadi pelindung dua anggota peninjau ini secara bertubi-tubi.

Sedikit demi sedikit, pelindung tersebut mula lunyai akibat isinya ‘dipahat’ keluar kesan daripada tujahan anak-anak peluru tanpa belas itu.

Tembakan daripada musuh berlarutan selama dua minit, namun sepanjang tempoh tersebut, anggota-anggota pasukan C masih mengekalkan disiplin apabila tidak membalas tembakan.

Dalam situasi genting itu, kedua-dua anggota peninjau yang menjadi sasaran utama RSF telah terkena tembakan pada bahagian kaki. Ini menyebabkan mereka tiada pilihan lagi selain membuat tembakan balas dan menjerit meminta bantuan tembakan daripada rakan-rakan lain.

ABD. RAHIM (kiri) dan Abdul Razak (kanan) sewaktu melancarkan buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Mendengar pekikan daripada anggotanya yang diasak tembakan musuh, komander pasukan C pantas melaungkan arahan agar anggota yang lain membalas tembakan. Setiap tembakan mestilah dibuat dengan sasaran tepat bagi tujuan membunuh.

Detik-detik cemas ini antara isi kandungan buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 yang menceritakan pertempuran unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tentera penceroboh Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tanggal 1 Mac 2013.

Pencerobohan dan serangan di Lahad Datu lapan tahun lalu itu telah mengorbankan dua anggotanya, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud.

Peristiwa tersebut diceritakan kembali secara ekstensif termasuk latar belakang pencerobohan tersebut yang tidak pernah didedahkan secara terbuka kepada umum termasuk oleh pihak media.

Pertempuran membabitkan lima tim patrol 69 Komando yang sebelum itu telah dipecahkan kepada sektor pasukan Alfa, Bravo, Charlie dan Delta telah diarah untuk melaksanakan tinjauan rapat ke kawasan tanggungjawab atau sektor masing-masing.

Tujuannya adalah untuk mengenal pasti tempat-tempat perlindungan tentera RSF dan menentukan lokasi pos-pos kawalan musuh secara berhati-hati bagi mengelakkan kehadiran pasukan mereka diketahui musuh.

Buku setebal kira-kira 170 muka surat dengan lebih 300 gambar berwarna itu memberi gambaran terperinci bagaimana peristiwa tersebut berlaku termasuk rentetan cemas pertempuran melibatkan 69 Komando di Kampung Simunul, Semporna.

DUA jenazah wira negara iaitu anggota 69 komando yang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu, Sabah diberikan penghormatan oleh pemimpin negara dan anggota keselamatan sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selangor.

Ia ditulis oleh bekas ketua pengarang majalah pertahanan Tempur, Muhammad Fuad Mat Noor dengan kerjasama Markas 69 Komando, Ulu Kinta di Ipoh, Perak.

Buku khas, 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 ini telah dilancarkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar pada April lalu. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JKDNKA (Pasukan Gerakan Khas) PDRM, Datuk Mastor Ariff; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff.

Usaha tersebut sangat signifikan dalam mengangkat perjuangan dan pengorbanan pasukan elit PDRM itu yang telah melalui pelbagai liku sepanjang penubuhannya 52 tahun lalu.

Menurut Muhammad Fuad, buku tersebut mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan kerana perlu merujuk dokumen-dokumen operasi termasuk laporan pertempuran selain maklumat daripada pegawai serta anggota terlibat.

Katanya, sebahagian besar masa dihabiskan untuk meneliti maklumat-maklumat selain membuat rujukan silang menerusi informasi daripada sumber berkenaan RSF di Filipina.

“Hampir sebahagian besar adalah maklumat yang tidak pernah didedahkan kepada umum tetapi telah diberi keizinan oleh pihak atasan PDRM supaya buku ini lengkap sebagai rujukan, selain tiada maklumat ditokok tambah.

“Turut diteliti ialah peta dan foto-foto operasi, ini bagi memberi gambaran lebih terperinci mengenai lokasi serta perjalanan operasi tersebut.

“Cabaran semasa menghasilkan buku ini ialah untuk menyusun maklumat demi maklumat yang telah dicerap sebelum ditulis menggunakan gaya bahasa mudah agar boleh difahami semua peringkat pembaca,” ujarnya kepada K2 baru-baru ini.

Katanya lagi, buku 69 Komando: Lahad Datu Mac 2013 itu turut melalui proses suntingan terperinci PDRM.

“Inisiatif 69 Komando dan PDRM khususnya yang memberi keizinan agar kisah pertempuran Lahad Datu diceritakan wajar dicontohi pasukan keselamatan lain agar catatan sejarah seperti ini didokumentasikan menerusi penerbitan buku,” jelasnya.

GAMBAR dikatakan terakhir yang dirakam Allahyarham ASP Zulkifli sebelum terbang ke Lahad Datu.

Sementara itu, berkongsi mengenai detik-detik pertempuran itu, Timbalan Komander 69 Komando, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rani Alias yang semasa itu mengetuai salah satu sektor serangan berkenaan berkata, dia dan pasukannya seramai 24 anggota mula memasuki kawasan itu pada tengah malam 28 Februari 2013 bagi menjalankan operasi pengosongan 25 rumah di kawasan terbabit.

“Keesokannya, selepas kawasan dikosongkan, saya terdengar bunyi tembakan dari kawasan sektor Charlie dan sektor Bravo yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan kendalian saya.

“Musuh melepaskan tembakan dan pertempuran meletus. Berdasarkan taktik, musuh bukan sembarangan kerana mereka mahir tetapi kami juga terlatih dengan latihan-latihan tempur yang dilalui selama ini,” katanya yang memberitahu itu adalah pengalaman pertamanya bertempur sepanjang menyertai 69 Komando.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melepaskan tembakan dengan turut dibantu pasukan di sektor-sektor lain.

“Kami berbalas tembakan dengan dibantu pasukan di sektor lain sehingga kami berjaya membuatkan musuh berundur kira-kira satu jam kemudian,” ujarnya yang bakal menjawat jawatan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am dengan menyandang pangkat Senior Asisten Komisioner pada bulan depan.

INSIDEN serangan tentera Sulu di Lahad Datu telah menjadi salah satu titik hitam yang akan dikenang dalam sejarah tanah air.- Gambar hiasan

Berkongsi kisah sama ialah ACP Anuar Rosdi yang semasa peristiwa itu berpangkat Deputi Superintendan selaku komander sektor C.

Beliau yang kini merupakan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perisikan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas JKDNKA PDRM memberitahu, pasukannya dan pasukan sektor B terlibat dengan pertempuran kerana kedudukan berdekatan.

“Tiada bendera putih yang dikibarkan oleh tentera RSF sebelum pertempuran sewaktu pasukan saya terserempak dengan musuh yang bersembunyi di sebalik pokok-pokok kelapa sawit di kawasan itu. Sebaliknya, anggota RSF itu menyangkutkan sehelai kertas putih pada sebatang kayu yang dijadikan tongkat.

“Pertempuran hanya meletus selepas musuh melepaskan tembakan bertalu-talu pada kedudukan kami sebelum diberikan tentangan,” ujarnya.

Kata Anuar, biarpun timbul rasa marah dan sedih dengan kehilangan rakan setugas semasa pertempuran, namun pada masa sama semangat anggota pasukan yang lain sangat tinggi untuk menumpaskan musuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN