LANGKAWI – Adzlizah Amat pernah menerima gaji sehingga mencecah RM3,000 sebulan ketika bekerja sebagai pengurus sebuah hotel mewah di sini.
Bagaimanapun kini, ibu tunggal itu hanya mampu meraih kira-kira RM10 sehari hasil daripada jualan air dan aiskrim Malaysia secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Padang Putih di sini.
Adzlizah, 41, berkata, semuanya berlaku selepas kontraknya tamat sebagai pengurus hotel itu setahun lalu.
Dia kemudian meneruskan hidup dengan bergantung kepada wang simpanan selain membuka kedai produk kecantikan dan dropship makanan sejak April lalu bagi menampung perbelanjaan.
“Disebabkan prosedur operasi standard Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kedai saya tidak boleh beroperasi. Saya kemudian menjual air berkarbonat dalam cawan dan aiskrim Malaysia,” katanya semalam.
Ujarnya, hasil jualan itu cuma sekitar RM10 hingga RM20 sehari yang tidak mencukupi untuk menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
Dia bernasib baik apabila menerima Bantuan Prihatin Rakyat selain membuat pengeluaran skim i-Citra bagi menampung keperluan hariannya.
“Semalam apabila saya dapat tahu i-Citra sudah masuk, saya gembira sebab boleh bayar sewa rumah dan kedai berjumlah lebih kurang RM600 sebulan,” katanya.
Adzlizah berkata, dia pernah mendapat tawaran untuk bekerja di beberapa hotel di Langkawi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana industri itu juga masih tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, dia juga pernah mengambil upah membersihkan rumah penduduk dengan anak sulungnya, Ku Nur Fatin Fikriah Ku Azizi, 16, namun tidak berani meneruskan kerja itu ekoran peningkatan kes Covid-19.
Dua lagi anaknya ialah Ku Azri Fakhrullah Ku Azizi, 13, dan Ku Nur Faizah Firzanah Ku Azizi, 11.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Adzlizah iaitu 152152020726.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929