fbpx
SNEK pada masa kini menjadi makanan pilihan yang diambil oleh ramai orang di luar waktu makan.-GAMBAR HIASAN

Ramai pilih snek tanpa ikuti diet harian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGAMBILAN snek di luar waktu makan perlu mengikuit diet harian, kata Pakar Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Dr. Satvinder Kaur dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bagaimanapun, ramai daripada kita mengambilnya atas pelbagai sebab atau faktor seperti untuk mengurangkan tekanan dan melapangkan minda selepas sekian lama terkurung di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan masih berjalan pada masa ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

KEBANYAKAN daripada kita pada ketika ini masih berkurung di rumah memandangkan kes positif pandemik Covid-19 semakin meningkat dan telah mencecah angka lebih 20,000 kes.

Ia sudah menjadi satu norma baharu kepada rakyat di negara ini bagi melandaikan lekuk jangkitan pandemik tersebut.

Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 masih berjalan, ada dalam kalangan rakyat yang bekerja dari rumah, selain sesi persekolahan anak-anak turut dilakukan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Disebabkan terlalu lama berkurung di rumah, tabiat pemakanan kebanyakan daripada kita juga berubah dan snek atau kudapan sering diambil bagi mengisi perut di luar waktu makan.

Hasil tinjauan oleh pengeluar snek terkemuka, Mondelez International Malaysia menerusi Kajian Pengguna 2021 tentang membudayakan amalan snek bijak dalam kalangan rakyat negara ini mendapati, makanan itu telah menjadi sumber ‘ketenangan’ bagi ramai orang di Malaysia.

Amalan snek bijak merupakan satu pendekatan tingkah laku yang memfokuskan kepada cara pemakanan.

Sebanyak 74 peratus berkongsi bahawa mereka menikmati snek bagi mengurangkan tekanan dan melapangkan fikiran, manakala selebihnya mengambilnya sebagai pengalas perut antara waktu makan.

Tinjauan itu turut mendapati, hanya 50 peratus koresponden berasa kuantiti pengambilan snek perlu dikawal, namun apabila ditanya tentang kandungan nutrisi di dalamnya, hanya tiga daripada 10 rakyat Malaysia menganggapnya penting untuk diketahui.

Pakar Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Dr. Satvinder Kaur berkata, amalan pengambilan snek bijak bukan sahaja dapat mencegah makan secara berlebihan, malah kualiti diet keseluruhan bertambah baik sekiranya kita mengamalkan panduan pemakanan sihat.

“Cuba peka kepada isyarat atau pencetus dalaman badan seperti ‘saya lapar’, ‘saya teringin nak makan sesuatu yang manis, berperisa atau masam’, ‘saya kenyang’, serta ‘saya sudah puas’.

“Apabila kita lebih peka kepada kehendak dan keperluan ini, kita dapat menjalin ‘hubungan’ lebih positif dengan makanan,” terangnya.

SEBANYAK 74 peratus pengguna menikmati snek bagi mengurangkan tekanan, manakaa selebihnya mengambil makanan itu sebagai pengalas perut.-GAMBAR HIASAN

Tambahnya, bagi mencapai pemakanan sihat, kita boleh mengamalkan kaedah seperti pelbagai, seimbang dan sederhana iaitu memakan pelbagai jenis makanan daripada kesemua kelas makanan yang dapat membekalkan nutrien diperlukan.

Dr. Satvinder yang juga merupakan Pembantu Prof. di Universiti UCSI, Kuala Lumpur menambah, dalam pengambilan snek, pengguna harus peka dengan maklumat penting yang ada pada pembungkusan produk bagi memilih kudapan yang tepat untuk dinikmati.

“Berdasarkan kepada pilihan pengguna, jika mahukan snek kurang manis, mereka harus mencari pembungkusan ada maklumat mengenainya.

“Selain itu, setiap orang perlu memilih produk berdasarkan keperluan diet mereka. Jika memerlukan lebih banyak nutrien dalam makanan, cari maklumat pembungkusan yang menerangkan tentang perkara
sedemikian,” jelasnya.

Dalam pada itu, amalan pengambilan snek secara bijak membolehkan pengguna menikmati kudapan itu dalam kuantiti secukupnya.

Antara amalan yang boleh dilakukan termasuklah membahagikan snek kepada beberapa bahagian dan simpan selebihnya.

Selain itu, kunyah snek secara perlahan dan nikmati setiap suapan dan habiskannya sebelum menikmati suapan seterusnya.

Dalam hal ini, Dr. Satvinder menyarankan agar orang ramai kurangkan menikmati snek ketika menonton televisyen, menggunakan telefon pintar atau bekerja di depan skrin komputer.

Ini jelasnya, bagi mengelak daripada menikmati snek secara berlebihan.

Dalam pada itu, bagi membudayakan tabiat positif snek bijak, Mondelez menyediakan panduan kuantiti dan ikon snack mindfully pada bungkusan produknya.

Ini bagi memberi gambaran lebih jelas tentang kuantiti yang betul dan kandungan kalori bagi setiap snek dengan profil nutrisi dan ramuan yang dipertingkatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN