fbpx
Gambar hiasan

Korban Covid-19 di ICU makin ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jumlah kematian akibat Covid-19 kini di negara ini dilihat sema­kin me­runcing apabila merekodkan sebanyak 9,384 orang terkorban hanya dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini berbanding hanya 471 kes sepanjang tahun lalu.

Ketika ini jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat dengan jumlah pesa­kit yang memerlukan alat bantuan pernafasan sebagai talian hayat bertambah mendadak berbanding sebulan lalu.

Kes kematian dijangka melepasi angka 10,000 hari ini dan negara merekodkan sebanyak 19,819 kes jangkitan harian semalam dengan Se­langor kekal menjadi negeri mempunyai jumlah kes tertinggi.

Jumlah kes terkumpul bagi seluruh negara meningkat kepada 1,183,110 sehingga semalam.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku kesesakan di wad ICU hospital sedia ada sehingga mendorong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina hospital me­dan bagi menampung pertambahan pesa­kit kronik.

Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, kematian akibat Covid-19 akan terus meningkat berdasarkan trend kenaikan kes harian melebihi 15,000 sehari ketika ini.

Petugas kesihatan terpaksa memilih mereka yang berpotensi untuk pulih kerana kekurangan fasiliti ekoran pertambahan mendadak pesakit ketika ini. – AFP

“Jika kita lihat jumlah pesakit yang dirawat di ICU, angkanya memang tinggi iaitu melebihi 1,000, malah ramai daripada mereka yang positif turut mempunyai latar belakang pelbagai penyakit.

“Secara konsepnya, kebanyakan kes kematian Covid-19 ba­nyak melibatkan pesakit mempunyai sejarah penyakit dan keadaan itu memberi terjemahan awal tentang nasib mereka di ICU,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, petugas perubatan mahu memberikan rawatan terbaik kepada semua pesakit khususnya di ICU tetapi disebabkan peningkatan kes secara drastik selain kekurangan fasiliti menyebabkan hasrat itu terbatas.

Menurut Dr. Zulkornain, secara jujur, petugas perubatan di ICU ketika ini berada di dalam dilema kerana perlu memberi keutamaan kepada pesakit yang mempunyai potensi untuk pulih berbanding yang tiada harapan.

“Kalau boleh, kita memang mahu menyelamatkan ramai orang, namun terpaksa memilih pesakit yang berpotensi pulih sekaligus dapat mengurangkan kadar kematian,” jelasnya.

Kesesakan di wad ICU hospital sedia ada mendorong ATM membina hospital medan bagi menampung jumlah pesakit.

Dalam pada itu, Dr. Zulkornain tidak menolak kemungkinan peningkatan kes kematian Co­vid-19 untuk tempoh dua minggu lalu turut dipengaruhi oleh tindakan berkenaan.

Ujarnya, ada kemungkinan kes kematian Covid-19 meningkat disebabkan petugas perubatan terpaksa menghentikan bantuan pernafasan seseorang pesakit dan memberikan kepada yang berpeluang pulih.

“Petugas perubatan kemungkinan terpaksa memilih pesakit yang ada peluang pulih berban­ding dengan yang menunjukkan harapan tipis,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Nazarudin Safian turut menjangkakan peningkatan angka kematian berdasarkan situasi semasa.

Bagaimanapun, katanya, ­angka tersebut mungkin dapat dikurangkan dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mula membuahkan hasil.

“Pesakit Covid-19 yang sudah lengkap vaksin mengalami simptom lebih ringan dan ia membantu untuk mengurangkan kesesakan di ICU dan wad hospital.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan juga perlu memaklumkan kepada rakyat tentang punca jangkitan Covid-19 bagi membolehkan orang ramai mengetahui situasi sebenar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN