fbpx
BIARPUN hanya mampu melihat dengan satu mata setelah terlibat dalam kemalangan semasa memotong rumput, Mohd. Izwan yang reda dengan kejadian itu bangkit meneruskan kehidupan dan kini dikagumi kerana kehebatannnya mencari dan ‘menjejaki’ durian pada waktu malam.

Lelaki bermata satu pemburu durian kala malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ditugaskan mencari buah durian di sebuah kebun seluas 6 hektar di Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan, ‘ketajaman mata’ Mohd. Izwan Affendi memang dikagumi sesiapa yang mengenalinya.

Kongsi Mohd. Izwan, pada waktu malam, dia akan memerhatikan ‘rambut’ yang biasanya ada pada ‘buntut’ buah durian yang masih berada di atas pokok.

“Kalau ‘rambut’ di buntut durian itu masih ada, bermakna lambat lagi buah itu akan gugur, tetapi kalau rambut itu sudah tiada pada buntut durian bermakna bila-bila masa sahaja buah itu akan gugur,” katanya.

Akui kehebatannya, pemajak kebun yang mengupahnya, Mohd. Firdhaus Md. Harun berkata, Mohd. Izwan berjaya mengumpulkan sebanyak 300kg hingga 500kg durian setiap malam.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

KEKURANGAN dalam diri tidak semestinya dianggap suatu kelemahan kerana kekurangan itu boleh menjadi suatu kelebihan.

Dua tahun lalu, Mohd. Izwan Affendi, 34, terpaksa menerima kenyataan pahit apabila salah satu pancainderanya hilang semasa memotong rumput di Masjid Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan.

Rentetan daripada peristiwa itu mata kanannya yang cedera terpaksa dibuang dan dia perlu menggunakan mata palsu.

Mohd. Izwan mengakui pada ketika itu agak sukar untuk bergerak kerana tidak dapat menganggar jarak termasuk sewaktu solat.

Katanya, selepas keluar hospital, dia memutuskan untuk reda atas apa yang terjadi cuma perlu mengambil masa untuk membiasakan kehidupan dengan satu mata.

“Alhamdulilah pada masa itu semangat saya dan isteri kuat. Saya bersyukur dapat guna nikmat Tuhan selama 32 tahun. Saya sentiasa ingatkan diri sendiri, apa yang kita ada semua pinjaman Allah dan sewaktu kejadian, nikmat mata sebelah lagi itu sudah sampai masanya,” katanya ketika ditemui Panorama di kebun durian di Kampung Lakai, Jelebu.

MOHD. IZWAN diberikan kepercayaan mencari durian di sebuah kebun di Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan sejak dua tahun lalu.

Ceritanya, tidak lama selepas kejadian, dia semakin biasa melakukan kerja-kerja dengan sebelah mata. Pada waktu siang, dia banyak melakukan kerja-kerja kampung, manakala malam dia bekerja sebagai pencari buah durian.

Sebenarnya sejak sebelum kejadian itu lagi, adakalanya Mohd. Izwan diberi upah untuk mencari buah durian pada waktu malam memandangkan dia seorang yang mahir selok-belok hutan. Namun, sejak bermata satu,

kemahirannya tampak lebih menyerlah sehingga ada pihak yang memberi kepercayaan untuk mendapatkan khidmatnya mencari durian pada waktu malam selama dua tahun berturut-turut.

Proses untuk mencari buah durian pada waktu siang mungkin biasa bagi ramai orang tetapi waktu malam bukan calang-calang orang boleh melakukan kerja itu. Mencari durian pada waktu malam sukar kerana keterbatasan penglihatan ekoran suasana gelap serta risiko haiwan berbisa dan buas.

Ditugaskan mencari buah durian di sebuah kebun seluas 15 ekar (6 hektar) di Kampung Lakai, ‘ketajaman matanya’ memang dikagumi sesiapa yang mengenalinya. Dengan upah RM80 satu malam, sudah dua tahun Mohd. Izwan bekerja sebagai pencari durian di kebun itu yang dipenuhi pelbagai jenis durian termasuk musang king dan D24.

Akui Mohd. Izwan, sejak menggunakan sebelah mata, prestasi pencarian buah duriannya pada waktu malam dirasakan lebih baik kerana penggunaan satu mata menjadikan dirinya lebih fokus sehingga hampir tidak tertinggal sebiji pun durian yang gugur.

“Bila hanya menggunakan sebelah mata, saya rasa diri lebih fokus. Mungkin kerana itulah saya boleh kutip durian lebih banyak berbanding dahulu serta lebih peka setiap durian yang gugur. Setiap malam saya akan ronda cari durian sebanyak empat kali. Setiap rondaan mengambil masa sehingga sejam setengah,” jelasnya.

MOHD. FHIRDAUS (kanan) memikirkan pelbagai alternatif untuk menjual durian dalam suasana PKP dan PKPD.

Penulis baru-baru ini turut berkesempatan merasai pengalaman mencari durian pada waktu malam. Selepas melakukan sekali rondaan di kebun yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar itu, penulis bersama lima yang lain akhirnya cuma mampu mendapatkan tujuh biji durian sedangkan Mohd. Izwan begitu menakjubkan apabila berjaya membawa pulang dua bakul besar berisi kira-kira 80 biji durian.

Kongsi Mohd. Izwan, dalam mencari durian pada waktu malam, dia akan memerhatikan ‘rambut’ yang biasanya ada pada ‘buntut’ buah durian yang masih berada di atas pokok. Terangnya, pada durian musang king, buntut itu adalah alur berbentuk bintang.

“Kalau ‘rambut’ di buntut durian itu masih ada, bermakna lambat lagi buah itu akan gugur, tetapi kalau rambut itu sudah tiada pada buntut durian bermakna bila-bila masa sahaja buah itu akan gugur. Saya akan bersedia dan jangka bila atau ke mana agaknya ia akan gugur dan bergolek.

“Saya bersyukur walaupun mata satu, saya boleh nampak setiap biji durian kecuali di dahan pokok yang terlalu tinggi,” katanya.

Bagi individu yang mengupah Mohd. Izwan, Mohd. Firdhaus Md. Harun, 39, dia memilih pemuda itu selepas disyorkan seorang kenalan di Kampung Lakai. Kata Mohd. Firdhaus yang merupakan pemajak kebun tersebut, bukan semua orang boleh mencari durian pada waktu malam kerana tugas itu begitu berat.

“Kebun ini berbukit-bukit dan tugasan mencari durian pada waktu malam lebih mencabar,” katanya.

SEORANG pekerja Mohd. Firdhaus melakukan kerja pengasingan jenis-jenis durian selepas buah-buah itu berjaya dicari dan dikumpulkan Mohd. Izwan.

Akuinya, walaupun Mohd. Izwan bermata satu tetapi dia miliki kepakaran tersendiri dalam menjalankan tugasan mencari buah durian pada waktu malam.

“Selepas melakukan kira-kira empat rondaan setiap malam, dia berjaya mengumpulkan sebanyak 300kg hingga 500kg durian sebelum pekerja-pekerja saya yang lain akan melakukan pengasingan jenis durian. Bagi saya, tugas cari durian waktu malam ini sangat saya perlukan.

“Ini kerana berbanding waktu siang, durian lebih banyak gugur waktu malam. Kalau tidak ambil durian dengan cepat, ia akan dimakan haiwan lain dan menyebabkan kutipan hasil kurang. Saya mengagumi Mohd. Izwan kerana boleh bergerak sendiri untuk cari durian waktu malam. Saya akui itu satu kerja yang sukar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN