KUALA LUMPUR – Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak), Taman Selaseh di sini mencatatkan rekod penerimaan jenazah pesakit Covid-19 tanpa henti setiap hari sejak 14 Mei lalu.
Ketua Pengurusan Jenazah Covid-19 TPIRS KL-Karak, Ustaz Mohd. Firdaus Zakaria berkata, rutin hariannya sejak tahun lalu berubah 360 darjah daripada kerja pentadbiran pejabat kepada menguruskan jenazah Covid-19 tanpa mengira waktu, siang atau malam.
“Hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), jenazah Covid-19 diuruskan bermula pukul 3 petang kerana pada sebelah pagi, kami menyantuni kes kematian biasa.
“Beberapa hari kebelakangan ini, kami kerap menerima jenazah Covid-19 pada waktu malam. Lebih 400 jenazah pesakit Covid-19 selamat dikebumikan di tanah perkuburan ini sejak tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mohd. Firdaus, dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini pihaknya menerima jumlah jenazah pesakit Covid-19 melebihi jenazah kematian biasa.

Angka tertinggi yang diterima setakat ini adalah 15 jenazah Covid-19 sehari pada Jumaat minggu lalu yang diuruskan hingga pukul 11 malam.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerja-kerja menggali kubur dilakukan secara manual menggunakan cangkul membabitkan lapan petugas tetap.
“Jentera berat terpaksa dielakkan bagi memelihara landskap tanah perkuburan selain kedudukan lot kubur yang agak rapat antara satu sama lain.
“Cuaca tidak menentu dan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) ketika mengendalikan jenazah merupakan antara cabaran yang dihadapi petugas di sini,” katanya.
Jelas kakitangan Jabatan Agama Islam (Jawi) itu, pengurusan jenazah pesakit Covid-19 berbeza kerana tiada talkin, sebaliknya digantikan bacaan doa memohon keampunan si mati.
Sebelum ini, Jawi memaklumkan tiga TPIRS iaitu TPIRS KL-Karak 2, TPIRS Bukit Kiara 1 dan TPIRS Kampung Melayu Kepong dijadikan lokasi pengebumian jenazah Covid-19.
Di TPIRS KL-Karak 2, pengebumian jenazah Covid-19 dikhususkan di petak khas supaya urusan pengebumian yang lebih teratur dan bersistematik.
Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan boleh menampung jenazah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang melibatkan enam TPIRS.
Selain itu, Jawi turut mempunyai tanah wakaf yang belum dibangunkan untuk tujuan tanah perkuburan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan pemegang amanah.
















