fbpx
SEELOKNYA berjalan terlebih dahulu bagi menyesuaikan diri dengan laluan sebelum mengambil langkah untuk berlari. - GAMBAR HIASAN

Larian off-road alternatif ketika PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANDANGKAN negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, maka aktiviti riadah masyarakat agak terhad.

Pihak berkuasa hanya membenarkan orang ramai melakukan larian, joging atau aktiviti regangan otot secara individu di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

Ramai tidak sedar, salah satu aktiviti riadah yang boleh dilakukan ketika musim PKP 3.0 adalah larian trail atau berhampiran kawasan kediaman masing-masing.

Menariknya, larian trail menawarkan pelbagai manfaat kepada pelari seperti bebas daripada kenderaan, tiada pencemaran, pemandangan baharu dan cuaca lebih redup.

Paling penting, larian trail dapat membantu menguatkan otot kaki dan paha serta menyeimbangkan tubuh apabila berlari di laluan yang permukaannya tidak rata.

Meskipun begitu, larian trail hadir dengan risiko tersendiri sekiranya pelari mengabaikan beberapa aspek penting sewaktu melakukan aktiviti berkenaan.

Minggu ini, Horizon ingin berkongsi beberapa perkara asas yang harus diberi perhatian oleh pelari apabila ingin melakukan aktiviti tersebut.

1.Pemilihan kasut

Kasut larian trail berbeza sama sekali dengan yang digunakan untuk joging. Hal ini kerana, kasut joging dibuat bagi permukaan rata.

Justeru, ia mempunyai tapak lebih nipis serta lebih ringan.

Kasut larian trail pula mempunyai ciri tapak lebih tebal dan permukaan bawahnya lebih bercorak tebal bagi mencengkam permukaan off-road.

ITEM paling penting bagi aktiviti larian trail adalah pemilihan kasut yang yang betul untuk mengelak kecederaan memandangkan ia dilakukan di laluan yang tidak rata. – GAMBAR HIASAN

2. Mula berjalan

Meskipun anda merupakan seorang individu yang aktif, namun anda disarankan memulakan langkah dengan berjalan terlebih dahulu. Ia bertujuan memudahkan anda menyesuaikan diri dengan permukaan laluan.

Laluan trail biasanya tidak rata sama ada mempunyai batu atau berbukit, sekali gus mengundang risiko berlakunya kecederaan pada pergelangan kaki.

Justeru, kenal pasti terlebih dahulu laluan sebelum memulakan larian.

3. Rancang laluan

Lakukan perancangan rapi terhadap laluan dan jarak yang bakal dilalui.

Pastikan anda mengetahui laluan tersebut dan jaraknya bersesuaian dengan kemampuan diri.

Pada peringkat permulaan, anda disarankan berlari dalam jarak 5 kilometer ke bawah.

Jangan sesekali cuba melalui laluan pintas yang terdapat di kawasan larian kerana dikhuatiri mengundang bahaya, selain tersesat.

4. Langkah pendek yang cepat

Amalkan teknik larian langkah pendek yang cepat bagi mengurangkan risiko bahaya.

Ini kerana, ia membolehkan minda lebih fokus dan tajam jika terdapat halangan di hadapan.

Tindakan refleks langkah pendek juga lebih pantas apabila berlaku perkara tidak ingin seperti tersadung batu dan sebagainya.

BEG trail memudahkan anda membawa air mencukupi sepanjang aktiviti larian.

5. Peralatan tambahan

Terdapat pelbagai peralatan larian trail dalam pasaran ketika ini.

Salah satu peralatan bermanfaat adalah trekking pole (tongkat) bagi membantu memudahkan pelari penyimbangkan badan pada peringkat permulaan.

Anda juga disarankan menggunakan beg trail bagi memudahkan anda membawa air sepanjang larian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN