PUTRAJAYA – Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja yang dilanjutkan mulai 1 Julai sehingga 31 Disember depan akan diperluaskan kepada subsektor perkhidmatan restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian.
Menurut kenyataan akhbar Kementerian Sumber Manusia (KSM), perkara tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 23 Jun lepas.
Katanya, selain itu pelaksanaan pelan rekalibrasi PATI Tenaga Kerja itu turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada persetujuan kerajaan negeri tersebut.
“Proses kelulusan penentuan kuota bagi program ini adalah selepas lulus tapisan pengesahan PATI oleh Jabatan Imigresen (JIM). Seterusnya, majikan mempunyai PATI yang telah lulus proses pengesahan boleh membuat permohonan menerusi laman sesawang www.fwcms.com.my.
“Oleh itu, majikan tidak perlu lagi membuat permohonan menerusi laman sesawang www.eppax.gov.my,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, proses penentuan kuota oleh KSM dan agensi-agensi kawal selia selepas PATI lulus tapisan pengesahan di JIM akan dapat mewujudkan keseimbangan dari segi jumlah kelulusan kuota serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan.
Isnin lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga hujung tahun ini.
Beliau dipetik berkata, dalam masa sama pelan tersebut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak tertakluk persetujuan kedua-dua kerajaan negeri. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














