KABUL – Lebih 1,000 askar Afghanistan melarikan diri ke negara jiran, Tajikistan kelmarin selepas kumpulan Taliban mendapat momentum di medan perang.
Perkembangan itu berlaku selepas pertempuran hujung minggu sebelumnya di utara Afghanistan yang menyaksikan pejuang Taliban menguasai berpuluh-puluh daerah sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemampuan tentera Kabul.
Ketika Tajikistan menggerakkan tentera untuk mengukuhkan kawalan di sempadannya, Moscow menutup konsulat Rusia di utara Afghanistan berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk.
Tentera Afghanistan tidak mahu menyerah, sebaliknya meminta bantuan tetapi panggilan mereka tidak diendahkan,” kata Abdul Basir yang merupakan seorang askar berpangkalan di wilayah Badakhshan di mana sebilangan rakannya melarikan diri ke Tajikistan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan telah menyerahkan Pangkalan Udara Bagram yang menjadi pusat operasi AS kepada pasukan keselamatan Afghanistan pada Jumaat lalu.
Langkah itu membataskan bantuan serangan udara bagi melindungi tentera Afghanistan.
Jawatankuasa Keselamatan Negara Tajikistan berkata, seramai 1,037 askar kerajaan Afghanistan telah melarikan diri ke negara bekas Soviet tersebut ‘untuk menyelamatkan nyawa mereka’ selepas bertempur dengan Taliban pada waktu malam.
“Mengambil kira prinsip kejiranan dan dasar tidak campur tangan dalam urusan dalaman Afghanistan, askar Afghanistan itu dibenarkan memasuki wilayah Tajikistan,” kata kenyataan sama yang diterbitkan oleh media kerajaan Tajikistan.
Presiden Tajikistan, Emomali Rakhmon juga telah memerintahkan kerahan 20,000 anggota tentera simpanan untuk memperkuatkan lagi kawalan di sempadan Tajikistan dan Afghanistan,” kata satu kenyataan dari pejabat Presiden kelmarin.
Kelmarin, Rusia mengatakan telah menutup sementara konsulatnya di bandar Mazar-i-Sharif yang merupakan ibu negeri wilayah Balkh di utara Afghanistan.
Mazar-i-Sharif merupakan antara bandar terbesar di Afghanistan dan terletak dekat sempadan Uzbekistan.
“Situasi berubah dengan pesat. Pasukan Afghanistan telah meninggalkan terlalu banyak daerah. Ini menimbulkan kegelisahan,” utusan Moscow ke Afghanistan, Zamir Kabulov dipetik sebagai berkata kepada agensi berita TASS kelmarin.
Berdepan kemaraan Taliban dan bekalan terhad, pasukan keselamatan Afghanistan menyerah kalah kepada pemberontak itu tanpa melepaskan tembakan.
“Pasukan Afghanistan telah kehilangan moral mereka,” kata penganalisis politik tempatan, Atta Noori di Kabul. – AFP














