fbpx
Sebahagian daripada 100 buah rumah bot tersadai di tebing Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu baru-baru ini.

100 rumah bot tersadai di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Industri pelancongan di Tasik Kenyir di sini yang merupakan tasik buatan terbesar Asia Tenggara lumpuh berikutan pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Kawasan bertaraf bebas cukai yang sebelum ini meriah dengan aktiviti pelancongan air, alam sekitar dan membeli-belah kini sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung.

Hampir 100 buah rumah bot yang sebelum ini tidak menang tangan menerima pelancong yang kebanyakan dalam kalangan kaki pancing kini tersadai di tebing tasik sehingga membuatkan pengusahanya terduduk.

Kebanyakan mereka yang tersepit terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan lain termasuk menangkap ikan, mencari hasil hutan dan madu serta berkebun demi kelangsungan hidup.

Seorang pengusaha rumah bot, Mohd. Talib Embong, 31, terpaksa mencari hasil hutan untuk dijual demi menampung kehidupan keluarganya.

Bapa kepada dua orang anak yang menetap di Kampung Gaung di sini itu mengutip apa sahaja yang ditemui di dalam hutan untuk dijual.

“Saya banyak belajar daripada Orang Asli yang ditemui di dalam kawasan hutan berhampiran untuk mengambil kayu-kayan dan madu yang boleh boleh dijual.

“Pada hari minggu, saya menangkap ikan di beberapa batang sungai di daerah ini sebelum hasilnya dijual kepada peraih,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pengkalan Gawi di sini baru-baru ini.

Mohd. Talib yang mengusahakan rumah bot Kelisa 1 berkata, sebelum ini, perkhidmatannya yang mengenakan caj RM1,800 bagi pakej percutian dua hari satu malam sentiasa penuh terutama pada hujung minggu

Katanya, rumah botnya kini bukan sahaja tidak dapat beroperasi, malah dia juga terpaksa memulangkan deposit ramai pe­langgan lebih RM10,000 ekoran pelaksanaan PKP Penuh.

Keadaan lengang di kawasan Tasik Kenyir.

Seorang lagi pengusaha, Muhammad Bidin Ibrahim, 59, pula berkata, dia terpaksa menukar profesion sebagai pekebun pisang setelah rumah botnya tidak dapat beroperasi.

“Dahulu saya tidak menang tangan kerana rumah bot saya yang menawarkan pakej pre­mium serendah RM10,000 untuk dua hari satu malam sentiasa dipenuhi pelancong.

“Sekarang saya mengusahakan kebun pisang seluas 1.62 hektar di Kuala Berang di sini. Saya akui kurang terkesan kerana empat anak sudah besar, tetapi rumah bot masih perlu diselenggara,” katanya.

Dia yang sudah mengusahakan rumah bot sejak 35 tahun lalu menjangkakan ramai pengusaha rumah bot tidak mampu bertahan jika industri pelancongan terus ditutup lebih lama lagi.

“Memang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah telah memberi bantuan pada PKP 1.0, tetapi ramai yang sudah kehabisan modal.

“Walaupun Terengganu memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, namun aktiviti rentas daerah masih tidak dibenarkan,” ujarnya.

 

Seorang pekerja kedai makan di Pengkalan Gawi menjemur asam keping selepas industri Tasik Kenyir lumpuh akibat PKP Penuh.

 

Kutip asam gelugur hutan demi tambah pendapatan

HULU TERENGGANU – Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Itulah nasib yang dialami pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir di sini apabila sektor pelancongan di kawasan tersebut lumpuh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau total lockdown.

Kesempitan hidup turut melibatkan peniaga kedai makan dan kedai bebas cukai berhampiran yang selama ini mendapat limpahan rezeki daripada kehadiran pelancong di Tasik Kenyir.

Seorang peniaga, Siti Zaharah Salleh, 54, berkata, kedai makannya terpaksa ditutup ekoran ketiadaan pelanggan selepas PKP 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

“Pelancong langsung tiada, kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah pula sebahagian besarnya bekerja di rumah.

“Senario ini lebih teruk daripada PKP 1.0 pada tahun lalu. Ketika itu, kami masih ada modal untuk meneruskan kelangsungan hidup, tetapi kini sudah kering kontang sebab Covid-19,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pengkalan Gawi baru-baru ini.

Siti Zaharah yang sudah hampir 20 tahun membuka kedai makan di Tasik Kenyir mengakui terpaksa menyuruh anak lelakinya mengutip buah asam gelugur di dalam hutan berhampiran untuk diproses menjadi asam keping.

“Sebelum ini kami tidak pernah ambil kisah pun, tetapi apabila sudah terdesak, ini (asam keping) pun jadi sumber pendapatan sekarang ini,” ujarnya.

Seorang pekerja kedai bebas cukai yang enggan dikenali berkata, perniagaan coklat lumpuh akibat ketiadaan pelanggan.

“Bukan setakat pelancong, penduduk dari daerah lain juga masih tidak boleh datang ke sini walaupun sekarang Terengganu sudah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Sehubungan itu, dia bercadang untuk menjual coklat secara online sahaja sebelum lebih banyak lagi coklat jualannya rosak kerana melebihi tarikh luput.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN