KADANGKALA perkahwinan itu tidak seindah seperti waktu bercinta. Ketika melayari alam percintaan, semuanya indah dengan janji-janji manis.
Selepas mengikat tali perkahwinan, kemanisan saat bercinta itu semakin pudar seiring waktu. Saat hidup bersama dan lebih mengenali diri masing-masing, ada sahaja yang serba tidak kena, malah yang dahulunya dipuji ‘melangit’, kini menjadi kejian.
Begitulah perjalanan bahtera perkahwinan seorang jejaka yang mahu dikenali sebagai Zul.
Perkahwinan dengan isterinya, Adila (bukan nama sebenar) yang dikenali sejak 10 tahun lalu terpaksa diakhiri kerana sikap si isteri yang tidak mahu berubah, malah bermain kayu tiga dengan sahabat baiknya sendiri.
Mereka berdua berkenalan semasa sama-sama bekerja satu pejabat di sebuah perusahaan swasta. Zul hanya bekerja sebagai kerani, manakala Adila seorang pengurus.
Pada awal perkenalan, isterinya tidak pernah kisah meskipun mereka berbeza taraf jawatan.
Menurut Zul, semasa bercinta semuanya indah, mereka sama-sama menghargai satu sama lain, malah jika keluar bersama, dia tidak pernah menggunakan wang isterinya meskipun ditawarkan beberapa kali.
“Kami bercinta selama empat tahun, daripada saya berjawatan kerani hingga ke eksekutif di syarikat lain. Walaupun jawatan dia bergaji lebih tinggi daripada saya, kami tidak pernah melihat itu sebagai satu masalah.
“Sehingga kami berkahwin, pada awalnya semua indah, tetapi selepas dua tahun berlalu, semuanya berubah. Isteri yang saya kenal sewaktu zaman bercinta dahulu sangat berbeza,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya, Adila memang bersikap manja dan sejak awal perkahwinan, semua hal rumah tangga diuruskan oleh Zul daripada mengemas rumah, memasak sehingga mencuci pakaian.
Jelas Zul, dia pernah menegur isterinya supaya membantu kerja-kerja rumah ketika hari cuti, namun teguran itu tidak pernah diendahkan Adila, malah pernah mencetuskan pergaduhan antara mereka.
Kata Zul, sebagai suami, dia memang sudah lama ingin menimang cahaya mata, tetapi malangnya isterinya tidak mahu dan mengamalkan pil perancang dengan alasan ingin memberi fokus kepada kerjaya. Adila juga sering mengelak apabila diajukan pertanyaan soal zuriat.
Isterinya kata Zul, turut memberi alasan, siapa mahu menjaga anak yang bakal dilahirkan, selain mengatakan bayaran pengasuh juga mahal.
Dalam pada itu, kemesraan antara kedua-dua mereka akhirnya terlerai selepas Zul mendapati isterinya curang di belakangnya.
Ketika itu, Adila kerap pulang lewat dari pejabat, selain keluar sehari suntuk ketika cuti hujung minggu.

Apabila Zul cuba menegur, isterinya melenting dan mengungkit segala hal termasuk mengatakan bahawa dia hanya menumpang senang dalam kehidupan mereka.
Kecurangan Adila akhirnya terbongkar juga selepas Zul terserempak isterinya keluar bersama seorang lelaki yang juga rakan baiknya.
Jelas Zul, dia mula bertanya kepada rakan-rakan di pejabat lamanya tentang isterinya dan daripada situ, dia mendapat tahu mereka berdua sering keluar dan balik kerja bersama.
“Siapa tidak marah apabila isteri keluar dengan lelaki lain. Saya tidak melulu bertanya kepada Adila, tetapi saya siasat terlebih dahulu. Bukti paling kuat yang ditemui adalah mesej dan gambar mereka berdua yang tampak mesra semasa saya menyemak telefon isteri.
“Ketika itu, kemarahan saya tidak dapat ditahan lagi. Saya terus bertanya kepada Adila mengenai perkara itu.
“Hati saya remuk apabila dia mengatakan tidak bahagia hidup bersama saya,” katanya.
Selepas kejadian itu Zul memberitahu, dia masih mahu memberi peluang, namun isterinya berkeras supaya saya menceraikannya.
Akhirnya Zul memutuskan untuk melepaskan isterinya dengan talak satu.
Dalam prosiding mahkamah, Zul memberitahu, dia menyatakan alasan perceraian itu kerana isterinya curang dengan melampirkan bukti-bukti yang ada.
—————————————————————————————————————-
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.














