fbpx

Silap-silap jadi Mak Leha atau Mak Jah – Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD ZAINAL dengan tangkap layar luahan sinikalnya dalam Instagram.

PETALING JAYA – Dramatis Nad Zainal memberi sindiran secara halus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga beberapa fasa lagi akan menjadikan dia tua dan tidak sesuai lagi untuk memegang watak heroin dalam mana-mana naskhah.

Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 31, berkata, PKP yang dilanjutkan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur sehingga 16 Julai 2021 nanti akan menyebabkan dia cuma berpeluang memegang watak ‘ibu’ atau pembantu rumah yang sering diberti nama Mak Leha atau Mak Jah kerana tidak lagi relevan membawakan peranan heroin.

“Rasanya PKP ini tak boleh dah nak buat ‘job’ (penggambaran) watak heroin yang tertangguh tu. Tak payahlah ditanya ada sambungan ke tidak drama sebelum ini.

“Saya sudah bersedia untuk hafal dialog ini; “Ya tuan, nak air apa? Mak Leha boleh buatkan (dialog pembantu rumah),” tulisnya dalam Instagram.

Dalam hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut membayangkan, mungkin 30 tahun lagi barulah dia akan kembali semula ke lokasi penggambaran.

“Ada ni, tengah hafal dialog, 30 tahun lagi baru masuk set,” tulis.

Nad ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia cuma berseloroh dengan memuat naik status berbaur sindiran itu kerana semua orang tidak tahu sehingga bila PKP ini akan berlanjutan.

“Saya tahu pelaksanaan PKP ini tidaklah dilanjutkan sehingga saya tua. Cuma masing-masing tertanya-tanya bila situasi ini (PKP) akan diteruskan.

“Saya mengambil pendekatan itu (berseloroh) sebab saya tidak pandai untuk menggunakan bahasa kasar ketika menyindir,” katanya.

Ditanya sama ada sindiran itu ditujukan pada mana-mana pihak, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu berkata, ‘siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedas’.

“Semua orang tahu status itu ditujukan pada siapa. Cuma saya tidaklah memberitahu secara terus kerana enggan dilihat terlalu lantang,” ujar Nad kepada Kosmo! Online

Ekoran lanjutan pelaksanaan PKP, Nad memberitahu terdapat empat projek penggambaran, masing-masing melibatkan tiga telefilem dan sebuah drama bersiri terpaksa ditangguhkan sehingga menyebabkan jadual kerjanya menjadi cacamarba.

“Sekarang ini jadual saya jadi cacamarba dan bertimbun-timbun. Susah saya nak atur semula. Sepatutnya bulan Jun lepas saya sudah masuk semula ke set penggambaran.

“Tapi sekarang jadual sudah dianjak ke bulan September dan Disember. Itu pun saya tidak tahu sama ada dapat diteruskan atau tidak ekoran keadaan Covid-19 yang masih buruk sekarang,” jelasnya.

Ekoran itu, Nad berharap supaya pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk menutup secara penuh semua sektor sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu untuk mencatatkan semula angka penurunan Covid-19.

“Saya tidak mahu gesa supaya industri kreatif dibuka dengan segera sebabnya nanti akan ada suara-suara ‘sumbang’ yang tidak berpuas hati.

“Bagi saya apa yang terbaik sekarang, tutuplah dahulu semua sektor untuk turunkan kes jangkitan harian, Tutup sementara, biar sakit sekali, selepas itu semua orang senang,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI