fbpx
GAMBAR FAIL beberapa pekerja berkampung di Pulau Nangka selepas alat pengesan logam yang dipasang menunjukkan ada harta karun yang tertanam di situ.

‘Badan kejang pegang mahkota sultan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Separuh bahagian badan kejang selepas pegang mahkota yang dijumpai di atas peti kayu di lokasi penyimpanan harta karun didakwa disembunyikan di Pulau Nangka.

Itu antara pengalaman beberapa kakitangan Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang terbabit de­ngan pencarian harta karun ber­kenaan selama dua tahun sejak 2012 dengan kos RM2 juta.

Menurut Pengarah urusannya, Mohammad Foad Khushairy M. Said, dalam tempoh berkenaan, pihaknya telah melakukan imbasan tiga dimensi di beberapa lokasi di pulau berkenaan menggunakan peralatan terkini dari Jerman.

Katanya, hasil imbasan membuktikan Pulau Nangka menyimpan pelbagai khazanah Kesulta­nan Melayu Melaka.

“Sepanjang dua tahun pencarian, kita menemui beberapa lokasi ‘kubu bawah tanah’ (underground bunker) di mana terdapat beberapa buah peti dipercayai mengandungi pelbagai khazanah termasuk bahan daripada logam (emas).

“Kerja-kerja penggalian dibuat menggunakan jalan pintasan, namun misterinya kedudukan logam itu berubah-ubah. Apabila kita gali di satu-satu kawasan yang dikenal pasti, kita tidak jumpa logam itu dan ia sebalik­nya berada di tepi pula,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

MOHAMMAD FOAD

Difahamkan selain Smart Part­nership, beberapa syarikat lain termasuk orang perseora­ngan turut berminat dengan harta berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, di awal pencarian, pihaknya telah membawa kira-kira 40 kakita­ngan termasuk kumpulan geofizik dan metafizik.

“Untuk mencari harta, kepakaran metafizik ini amat penting kerana harta ini terbahagi kepada tiga, harta nyata, ghaib dan separa ghaib. Itu pengetahuan asas.

“Pengalaman kami, ada satu masa dua kakitangan tanpa se­ngaja terjumpa laluan masuk ke dalam underground bunker tersebut dan menjumpai harta yang diletakkan di dalam peti secara bertingkat.

“Salah seorang daripada me­reka mendakwa telah meme­gang sebuah mahkota, namun secara tiba-tiba separuh badannya menjadi kejang.

“Terkejut dengan tindak balas itu, pekerja berkenaan melepaskan mahkota terbabit dan mengambil keputusan untuk te­rus keluar dari pulau tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kumpulannya juga sering kali terhidu bauan harum, lebih harum daripada kasturi yang tidak pernah dibau di tempat lain sepanjang misi itu berlangsung.

Mohammad Foad berkata, dia percaya kejadian misteri yang berlaku sepanjang pencarian disebabkan ia ‘dijaga’ dan harta berkenaan hanya diberikan kepada yang layak.

“Harta ini tidak boleh sebarang ‘sentuh’. Secara peribadi, saya rasakan hanya mereka yang mempunyai susur galur dengan pemerintah Kesultanan Melayu Melaka diberikan peluang untuk ‘menjaga’ harta-harta tersebut.

“Saya bukan mahukan harta berbentuk emas dan sebagainya tetapi manuskrip lama monarki Kesultanan Melayu Melaka yang akan menjadi pembongkaran sebenar sejarah dunia,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN