TAPAH – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu hasil siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung penjualan vaksin Covid-19 oleh tiga individu yang diberkas di Putrajaya dan Brickfields, kelmarin.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan susulan.
“Kes yang dilaporkan ini sudah pastinya dalam siasatan polis kerana mengambil bayaran daripada suntikan vaksin adalah satu kesalahan.
“Saya percaya PDRM akan menjalankan siasatan menyeluruh dan kita tunggu hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azmi menegaskan, pemberian suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah percuma, ia dibeli dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Justeru itu katanya, pengambilan suntikan tersebut di mana-mana fasiliti kesihatan awam mahupun swasta tidak boleh dikenakan sebarang bayaran.
“Di mana pun kita mengambil suntikan vaksin yang di luar (premis) kerajaan contohnya klinik, hospital swasta dan sebagainya ia tidak boleh dikenakan bayaran. Ini adalah seruan dan tertakluk kepada semua orang,”katanya.
Menerusi laporan media kelmarin, tiga individu termasuk dua wanita ditahan dalam tangkapan berasingan di Putrajaya dan Brickfields kerana disyaki terbabit dalam sindiket penjualan vaksin Covid-19. -K! ONLINE














