PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan kebimbangan apabila hanya lima peratus daripada 2.72 juta individu yang bekerja sendiri mencarum dengan pihaknya ekoran tidak tahu boleh berbuat demikian dan risau memberi komitmen bulanan.
Setakat 30 April lalu, hanya 142,535 orang bekerja sendiri (OBS) telah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), manakala baki lebih 2.5 juta lagi tiada perlindungan tersebut.
Berdasarkan jadual statistik Perkeso, terdapat 20 sektor OBS yang layak menyertai SKSPS Perkeso antaranya petani, penternak, nelayan, peniaga, penjaja serta termasuklah pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.
Difahamkan, ketika ini terdapat kira-kira 120,000 pemandu e-hailing dan lebih 60,000 penunggang p-hailing di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, angka OBS diperoleh daripada statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Katanya, apa yang membimbangkan OBS bukan tidak mendapat sebarang faedah untuk diri sendiri, malah mendatangkan masalah kepada keluarga sekiranya mereka ditimpa kemalangan kerana rata-rata pekerja merupakan pencari nafkah tunggal.
“Setakat ini, seramai 21,417 pemandu e-hailing dan 53,780 penunggang p-hailing telah mendaftar dengan SKSPS.
“Kita risau kerana kemalangan membabitkan golongan ini banyak berlaku kebelakangan ini. Jika mencarum, ahli layak mendapat lapan faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara atau kekal serta pengurusan jenazah,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambahnya, setakat 22 April lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 71 kes tuntutan melibatkan e-hailing dan p-hailing dengan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM88,784.
Menurut Mohammed Azman, pihaknya tidak dapat memberi faedah kepada OBS sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan dan tiada caruman.
Difahamkan, antara sebab mereka tidak mencarum ialah tidak tahu layak berbuat demikian dan takut sekiranya tidak dapat memberi komitmen bayaran bulanan sebanyak RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun melalui Pelan 1 SKSPS.
“Golongan itu perlu mencarum kerana mereka berada di atas jalan raya hampir setiap hari dari pagi hingga malam.
“Ia bukan alasan kerana kerajaan telah menyediakan insentif khas bayaran caruman SKSPS Perkeso kepada kumpulan e-hailing dan p-hailing di bawah Program PenjagaGig bermula 15 Jun sehingga 31 Disember depan,” katanya.
Di bawah program itu menurut Mohammed Azman, OBS hanya perlu membayar caruman sebanyak 30 peratus atau RM69.80 setahun, manakala bakinya dibiayai kerajaan.
Sementara itu, Mohammed Azman berkata, setakat ini caruman dibuat secara sukarela dan pihaknya bercadang untuk mewajibkan penunggang p-hailing membuat caruman.
“Mungkin agak membebankan buat mereka yang berpendapatan tidak tetap, namun ia adalah satu jaminan sosial kepada diri dan waris jika berlaku kemalangan,” katanya.
Bagi pemandu e-hailing, pendaftaran SKSPS adalah mandatori dan tertakluk kepada undang-undang dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
“Namun, setakat ini tiada tindakan diambil bagi mereka yang belum berbuat demikian kerana Perkeso mementingkan pendekatan meningkatkan kesedaran,” katanya.
Takut tak dapat beri komitmen
PETALING JAYA – “Kami tiada pendapatan tetap, lagi pun ini bukan kerja sepenuh masa, rasanya tidak perlu kami mencarum SKSPS (Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri).”
Demikian alasan yang diberikan beberapa individu yang bekerja sendiri sama ada menjadi penghantar makanan, penghantar barang mahupun penjaja kecil.
Seorang penghantar makanan yang dikenali sebagai Dodi, 37, berkata, dia tidak tahu bahawa pekerjaan sepertinya itu melayakkan dirinya menyertai skim perlindungan.
“Saya ingat hanya bekerja makan gaji dan mempunyai majikan sahaja boleh mohon skim perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebab saya buat kerja ini hanya separuh masa.
“Lagipun saya bimbang tidak mampu membayar caruman bulanan,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang penghantar barangan dikenali Ahmad, 28 berkata, dia baru sahaja mendaftar skim SKSPS Perkeso kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia tidak mengetahui bahawa ada skim perlindungan yang disediakan Perkeso kepada mereka yang bekerja sendiri.
“Memang saya tidak tahu ada skim ini memandangkan saya bekerja sendiri dan tiada majikan. Sebelum ini saya ‘merisikokan’ diri ulang-alik hantar barang dari Kuala Lumpur ke Kelantan hampir setiap minggu.
“Ketika itu saya tawakal agar tidak ditimpa sebarang musibah ketika berada di jalan raya, tetapi sejak mencarum SKSPS ini, rasa terjamin sedikit sebab ada perlindungan. Nak carum insurans peribadi tak mampu sebab kos besar,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
















