fbpx
JULIA bermain cinta dengan lelaki lain yang merupakan rakan sekerjanya di laman sosial Facebook tanpa pengetahuan suami. – GAMBAR HIASAN

K2

Rumah tangga bergoncang, isteri terpikat rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKENALAN Adi (bukan nama sebenar) dengan isterinya, Julia (bukan nama sebenar) di satu festival kebudayaan telah menimbulkan bibit-bibit percintaan antara mereka.

Setelah hampir empat bulan menjalin hubungan, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk membina mahligai dengan ikatan perkahwinan.

Menurut Adi, pada mulanya keluarga Julia menentang keputusan tersebut memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap, tetapi akhirnya mengalah selepas wanita itu tetap ingin hidup dengannya sebagai pasangan suami isteri.

Setelah mereka berkahwin, Adi membawa isteri tinggal bersama keluarganya.

Adi mengakui, kadangkala dia berasa rendah diri memandangkan isterinya ada pekerjaan tetap, sedangkan dia hanya bekerja sendiri dan pendapatan pula tidak menentu.

Bagaimanapun, perasaan itu dibuangnya jauh-jauh memandangkan isterinya tidak pernah mengungkit tentang hal itu.

Setelah setahun usia perkahwinan mereka, Adi dan Julia dikurniakan cahaya mata dan kehidupan mereka bertambah bahagia dengan kehadiran orang baharu itu.

Bagaimanapun, dua tahun selepas itu, rumah tangga pasangan tersebut mula menerima ujian getir selepas Julia berubah sikap.

“Saya tidak mengerti kenapa dia boleh berubah sikap dan sering mencari kesalahan saya yang akhirnya membuat kami sering bertengkar.

“Julia menyatakan bahawa sudah bosan dengan saya kerana tidak dapat memberikannya kemewahan, malah dia yang terpaksa membantu saya untuk menyara keluarga,” jelas Adi sedih.

Adi mengakui sepanjang perkahwinan mereka, isterinya itu banyak membantu dalam hal kewangan keluarga.

 

PERUBAHAN sikap Julia yang mencari kesalahan Adi membuatnya mereka bertengkar . – GAMBAR HIASAN

 

Dia yang mengesyaki sesuatu tidak kena cuba memeriksa telefon isterinya, namun gagal kerana Julia telah menukar kata kunci.

Lebih memburukkan suasana, Julia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarganya dengan alasan untuk mencari ketenangan fikiran. Anak mereka ditinggalkan di bawah jagaan Adi.

Menyedari ada perkara yang tidak kena, dia mengambil keputusan untuk menggodam akaun Facebook milik isterinya itu dan membaca semua perbualan mesej di laman sosial tersebut.

“Saya terkejut apabila melihat satu perbualan mesej antara isteri saya dengan seorang lelaki yang cukup mesra sekali, bagaikan orang mabuk cinta,” katanya.

Adi akhirnya pergi berjumpa isterinya, tetapi hasrat itu dihalang keluarga Julia dengan memberi alasan anak mereka enggan berjumpa dengannya.

Tidak berputus asa, Adi sekali lagi ke rumah keluarga isterinya dan kali ini membawa anaknya sekali dengan harapan Julia mahu bertemunya untuk mendapatkan penjelasan mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Julia akhirnya mengalah dan mereka bersemuka secara empat mata. Tanpa berselindung Julia mengatakan dia sudah terpikat dengan lelaki lain di tempat kerja yang boleh memberikan kemewahan kepadanya.

“Saya hilang pertimbangan dan menampar muka isteri saya. Selepas itu dia terus meminta saya untuk melepaskannya.

“Dia sendiri menyatakan sudah bosan dan tidak mahu hidup dengan saya lagi,” jelas Adi.

Sejak kejadian itu, keluarga isterinya turut campur tangan dan menghantar mesej kepada Adi supaya melepaskan anak mereka.

Menyedari sudah tiada ada kasih sayang antara mereka, Adi akhirnya bersetuju untuk melepaskan Julia dengan syarat isterinya tidak boleh menuntut hak penjagaan anak mereka.

Isterinya bersetuju dengan syarat tersebut dan akhirnya Adi membuat satu surat perjanjian sebelum menceraikan isterinya.
Mereka akhirnya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di utara Semenanjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN