fbpx

Hartalega selesai bayar balik pekerja asing RM41 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proses bayaran balik fi pengambilan pekerja asing telah berjaya diselesaikan dalam tempoh yang lebih awal daripada jadual sebenar.

PETALING JAYA – Pengeluar sarung tangan, Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) telah menyelesaikan proses bayaran balik fi pengambilan pekerja asing melibatkan kakitangannya berjumlah RM41 juta.

Ia sebahagian daripada perjalanan pematuhan sosialnya, bagi memastikan tiada pekerja yang perlu membuat sebarang pembayaran untuk menyertai syarikat tersebut.

Hartalega dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, proses itu yang bermula pada November 2020 berjaya diselesaikan dalam tempoh lapan bulan pada 4 Jun lalu, jauh lebih awal berbanding jangkaan.

“Bayaran balik ini dibuat kepada pekerja semasa yang menyertai Kumpulan sebelum pelaksanaan Dasar Kos Pengambilan Sifar pada 1 April 2019 dan telah membayar fi pengambilan kepada ejen pekerjaan ketika proses merekrut.

“Satu badan bebas telah dilantik bagi mengesahkan semua pembayaran balik. Hartalega juga akan membuat pembayaran balik semua pekerja di bawah Dasar Kos Pengambilan Sifar.

“Di bawah polisi ini, Hartalega telah menubuhkan empat titik pemeriksaan, iaitu ketika proses temuduga di negara asal; sebelum berlepas ke Malaysia; selepas ketibaan di Malaysia dan selepas tiga bulan bekerja bersama Kumpulan bagi memastikan pekerja tidak perlu membayar sebarang fi,” katanya.

Dalam pada itu, Hartalega turut mengakui meskipun dengan langkah pemeriksaan ketat, mungkin masih ada pekerja yang tidak melaporkan sebarang pembayaran yang telah dibuat mereka untuk menyertai syarikat.

Jelasnya, pihaknya sedang berhubung rapat dengan pekerja semasa untuk menyiasat kemungkinan tersebut.

“Kumpulan telah memulakan fasa seterusnya dalam program bayaran balik ini dengan memperluaskannya kepada kakitangan yang telah meninggalkan syarikat pada atau selepas pelaksanaan Dasar Kos Pengambilan Sifar.

“Hartalega komited untuk terus meningkatkan kebajikan pekerja dan memastikan layanan yang adil diterima semua kakitangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI