fbpx
Ladang solar di Bidor, Perak menempatkan 110,500 keping panel solar.

Ladang solar Bidor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sampai sahaja ke rumah pulang dari tempat kerja, Syamsul Ariff Zainal terus mencapai alat kawalan jauh lalu menekan butang berwarna hijau untuk menghidupkan pendingin hawa. Sebaik butang itu ditekan, sepantas kilat hawa nyaman menderu laju dari corong udara.

Pendingin hawa berkapasiti 2.0hp yang ditetapkan suhunya pada 24 darjah Celsius sudah memadai baginya kerana setiap penurunan satu darjah Celsius bersamaan dengan peningkatan penggunaan bil elektrik kira-kira 10 peratus.

Sebaik duduk di sofa, eksekutif di sebuah syarikat permotoran itu menghidupkan pula televisyen LCD saiz sederhana sambil menekan alat kawalan jauh untuk mencari siaran berita petang.

Walaupun menetap di Putrajaya tetapi bekalan elektrik yang diterima untuk menjana tenaga pada perkakasan elektrik di kediaman Syamsul, 27, ini datangnya dari sebuah ladang solar yang terletak di Bidor, Perak atau lebih tepat lagi di Kampung Jeram Mengkuang.

Terletak kira-kira 73 kilometer (km) dari Ipoh, ladang solar ini dimiliki syarikat penyedia perkhidmatan tenaga solar terbesar di Malaysia, Gading Kencana Development Sdn. Bhd. (Gading Kencana). Syarikat ini telah berkecimpung dalam industri solar sejak tahun 1993.

Ladang solar bukanlah seperti ladang pertanian tetapi sebuah kawasan luas yang dibina dengan susunan panel-panel solar atau sel voltan foto bagi menukar tenaga cahaya matahari kepada tenaga elektrik.

Disebabkan mentari tidak memancarkan tenaga suria pada satu tempat dalam satu masa, maka satu kawasan luas diperlukan bagi mengumpulkan tenaga pada kadar mencukupi.

MUHAMAD GUNTOR bergambar di ladang solar di Kampung Jeram Mengkuang, Bidor, Perak yang berkeluasan 98 ekar (39.6 hektar).

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk (Dr). Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, melalui teknologi terkini, janaan daripada panel solar boleh menghasilkan tenaga elektrik bagi pelbagai kegunaan termasuk industri.

Menurut beliau, ladang solar di Bidor itu dibangunkan menerusi Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 Megawatt (MW) dengan kos keseluruhan RM214 juta yang mampu menghasilkan tenaga bagi kegunaan kira-kira 20,000 kediaman.

Katanya, Gading Kencana membiayai kos pembinaan ladang solar itu termasuk membina prasarana sebagaimana ditetapkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala tenaga elektrik yang dihasilkan dijual semula kepada TNB mengikut kadar harga ditetapkan.

“Ladang solar di Bidor seluas 98 ekar (39.6 hektar) siap dibina pada tahun 2018. Kawasan ini dipilih berikutan kesesuaiannya sebagai kawasan bekas tanah lombong dan mendapat pancaran cahaya matahari yang tinggi.

“Di sini kita memasang kira-kira 110,500 keping panel solar untuk menangkap atau menukar cahaya suria kepada tenaga elektrik. Kos setiap panel ini kira-kira RM600.

“Dalam industri solar, operasi kita bergantung kepada cahaya matahari. Lagi banyak atau kuat pancaran matahari, maka lebih banyaklah pengeluaran tenaga elektrik yang kita hasilkan,” ujarnya yang memulakan kerjaya sebagai jurutera jualan sebuah syarikat pengeluar produk elektrik lebih 30 tahun lalu kepada Panorama.

SKRIN-SKRIN di pusat kawalan di ladang itu memaparkan maklumat mengenai tenaga solar dijana dan sebagainya.

Selain di Bidor, Gading Kencana memiliki satu lagi ladang solar di Ayer Keroh, Melaka dengan kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 8 MW. Pembinaan kedua-dua ladang solar melibatkan pekerja tempatan sepenuhnya.

Usahawan berasal dari Seberang Perak, Alor Setar, Kedah itu berkata, seramai 15 kakitangan ditempatkan di ladang solar tersebut terdiri daripada jurutera elektrik, juruteknik dan petugas lapangan untuk menyelia operasi harian. Turut diambil bekerja ialah belia Orang Asli setempat sebagai pekerja am.

Sambil menunjukkan data-data terpampang pada skrin di dalam bilik kawalan di ladang tersebut, jelasnya, setiap maklumat serta ikon merujuk kepada taburan cahaya matahari, jumlah pengumpulan tenaga serta nilai tenaga elektrik yang dihasilkan.

Terangnya lagi, operasi di situ adalah secara automatik sepenuhnya dengan petugas hanya melihat pada paparan skrin bagi pemantauan tanpa perlu turun ke ladang secara kerap.

Katanya, penggunaan sumber tenaga diperbaharui itu bukan sahaja bersifat mesra alam, malah tiada bahan bakar kerana semuanya bergantung kepada cahaya suria selain bebas pelepasan karbon.

“Secara purata, setiap hari kita boleh menjana sebanyak 160MW tenaga elektrik sehari. Ia bersamaan dengan kelestarian 432,000 batang pokok yang dapat diselamatkan jika menggunakan cara konvensional bagi menghasilkan tenaga sama,” jelasnya.

Pun begitu, antara risiko pada ladang solar ialah panahan kilat yang boleh merosakkan panel solar. Secara purata, ladang solar Bidor ini menerima 385 panahan kilat setahun. Untuk itu, sebanyak 14 alat perangkap kilat iaitu peranti perlindungan kilat dipasang pada struktur tinggi di sini.

DUA petugas mengendalikan mesin robotik untuk mencuci panel solar bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih dan baik.

Sebagaimana sebuah kilang, ladang solar juga perlu diselenggara mengikut jadual rutin, kata Pengarah Operasi Gading Kencana, Abd. Halim Adnan. Paling utama, terang Abd. Halim ialah kerja-kerja mencuci panel solar sebanyak dua kali setahun bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih dan baik.

“Kerja-kerja ini menggunakan mesin robotik Solarcleno buatan Jerman yang boleh mencuci 3,000 keping panel solar sehari. Konsepnya sama seperti robotik mencuci kereta menggunakan air, cuma bezanya ia mesin khusus untuk panel solar.

“Hanya dua orang petugas mengendalikan mesin ini. Jika mencuci secara biasa, enam petugas diperlukan untuk mencuci sehingga 1,000 panel solar sehari.

“Di samping itu, juruteknik pula akan melakukan imbasan setiap kepingan panel untuk mengesan kerosakan menggunakan dron. Ini dilakukan setiap dua tahun sekali. Jika panel solar ini rosak, ia akan menjatuhkan voltan atau kemampuan memerangkap cahaya suria,” ujarnya.

Berbicara perihal perancangan masa depan, Muhamad Guntor berkata, Gading Kencana akan membina ladang solar ketiga dengan kapasiti sama terletak kira-kira 6km dari tapak ladang solar sedia ada.

“Kita ada tanah bekas lombong yang sesuai dibangunkan sebagai ladang solar. Falsafah kita adalah untuk bangunkan ladang solar menggunakan tanah yang tidak ada nilai. Dengan itu, pihak berkuasa tempatan dapat menjana cukai taksiran yang lebih tinggi.

“Ketika ini, kita turut menawarkan pemasangan panel solar di kediaman menerusi Projek Solar Rakyat melalui Program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering) 3.0 yang menawarkan kuota tenaga solar sebanyak 500MW sehingga tahun 2023.

“Pemasangan panel solar sesuai kepada pengguna yang membayar bil elektrik mencecah RM1,000 sebulan di mana penggunaannya tinggi dan boleh dijimatkan sehingga 60 peratus. Ia juga dilihat semakin menjadi pilihan pengguna di negara ini terutama mereka yang ingin mengurangkan bayaran bil elektrik dan pada masa sama melestarikan alam sekitar,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN