fbpx
LALAT BSF tidak seperti lalat rumah kerana tidak makan benda-benda kotor sebaliknya menghinggapi sisa-sisa organik untuk mempercepat proses penguraian sisa tersebut selain untuk lalat betinanya bertelur.

Potensi larva lalat askar hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA ditenung dari jauh, bangsal seluas 25 meter persegi itu kelihatan tidak ubah seperti sebuah tempat ternakan ayam atau burung yang sering terbina di tepi rumah kampung.

Selepas menghampiri bangsal berbumbung zink serta berdinding jaring setinggi lima meter itu, ternyata tiada seekor unggas pun di dalamnya. Sebaliknya, kawasan berkenaan dipenuhi bahan buangan organik seperti sisa ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

‘Aroma’ yang terhasil daripada sisa buangan memikat kehadiran lalat mengerumuni sampah sarap tersebut sekali gus membantu mempercepatkan proses penguraian sisa-sisa itu selain untuk serangga itu bertelur.

Menariknya, lalat yang memenuhi bangsal terletak dalam pusat pembenihan ikan, Ain Aquaculture Sdn. Bhd. (Ain Aquaculture), Pengkalan Chepa, Kelantan itu bukanlah daripada spesies biasa yang sering terdapat dalam persekitaran normal.

Sebaliknya, ia merupakan lalat jenis askar hitam atau black soldier fly (BSF) yang dipelihara dan diternak bagi menghasilkan larva untuk dijadikan sumber makanan ikan peliharaan seperti tilapia dan siakap di situ.

LARVA lalat ini dikumpulkan untuk dijadikan makanan ternakan.

Pengurus Ain Aquaculture, Mohamad Akib Baharom, 47, menjelaskan, larva yang terhasil daripada telur lalat BSF mengandungi protein yang sesuai untuk dijadikan makanan ikan serta ayam.

“Idea menternak lalat BSF untuk menghasilkan larva sebagai sumber makanan ikan ini diperoleh menerusi pembacaan dan seminar-seminar yang dihadiri di dalam negara.

“Selepas melihat potensi besarnya, kami mengorak langkah menjadi pelopor kepada penternakan BSF di negara ini dengan kerjasama pengkaji di institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Mohamad Akib menegaskan, lalat yang mempunyai panjang maksimum sekitar dua sentimeter itu bukanlah spesies biasa yang sering dilihat berterbangan dalam persekitaran harian kita.

Tegasnya, lalat BSF atau nama saintifiknya Hermetia illucens merupakan spesies unik yang hanya boleh dijumpai di tempat-tempat tertentu terutamanya berhampiran hutan.

“Salah satu ciri menarik mengenai BSF ini ialah lalat dewasanya hidup dengan hanya meminum air dan tidak memakan sampah atau sebarang benda-benda kotor seperti lalat rumah.

“Jadi, kami tidak perlu bimbang mengenai keselamatan lalat ini kerana ia bukanlah ejen pembawa bakteria atau vektor penyakit seperti lalat rumah dan sampah,” katanya.

Proses menghasilkan larva bermula dengan meletakkan sisa buangan organik di sebuah kawasan lapang yang terletak berhampiran hutan bagi menarik kehadiran lalat BSF dewasa.

Lalat BSF dewasa ini akan bertelur pada sisa makanan tersebut sebelum menetas menjadi larva selepas tiga hingga empat hari.

Kemudian, larva berkenaan perlu diberikan makanan berupa sisa buangan organik terutamanya yang mengandungi protein tinggi seperti sisa perut haiwan, sisa makanan atau hampas soya sebelum dituai selepas tempoh 15 hingga 18 hari.

“Kitar hidup spesies BSF adalah sekitar 45 hari dengan lalat dewasa mampu hidup selama lima hingga lapan hari, manakala lalat betina akan mati selepas bertelur. Kitaran berkenaan akan berlaku secara semula jadi.

“Biasanya, para penternak tidak menuai keseluruhan larva kerana mereka akan meninggalkannya sedikit untuk dibiarkan menjadi kepompong sebelum bertukar kepada lalat BSF dewasa bagi mendapatkan telur. Daripada telurlah muncul larva kemudian menjadi kepompong diikuti lalat,” ujarnya.

Tambahnya, penternakan lalat BSF bukan sahaja mampu menghasilkan makanan haiwan, malah juga membantu menjadi ejen penguraian bahan buangan secara semula jadi.

IKAN-IKAN peliharaan di Ain Aquaculture diberikan makan larva lalat BSF yang dikatakan mengandungi protein tinggi setara jagung
dan soya.

Ujarnya lagi, pihaknya sedang giat melakukan proses penyelidikan untuk menghasilkan palet ikan daripada larva BSF serta baja kompos menggunakan sisa buangan organik yang telah mengalami proses penguraian.

“Kami ketika ini dalam proses menghasilkan palet ikan daripada larva BSF. Hasil kajian kami, ikan yang diberi makanan palet larva ini mampu membesar dengan cepat selain mempunyai ketahanan penyakit lebih tinggi,” katanya.

Ain Aquaculture turut membantu menyediakan khidmat nasihat kepada 50 penternak ayam dan ikan di kawasan Tumpat dan Kok Lanas bagi membantu mereka menternak lalat BSF.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi dan Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Sosial, Universiti Malaya, Dr. Norhidayah Mohd. Taufek berkata, penggunaan lalat BSF bukanlah sesuatu yang baharu dalam penternakan.

Dia yang telah melakukan penyelidikan lalat BSF sejak empat tahun lalu memaklumkan, ia telah digunakan secara meluas di negara-negara Eropah sebagai sumber makanan ikan, namun ayam masih belum dipraktikkan sepenuhnya.

“Lalat BSF masih baharu di Malaysia, namun di negara-negara maju sudah lama digunakan. Larva terhasil daripada lalat BSF mengandungi protein tinggi yang setara dengan jagung dan soya.

“Berdasarkan kajian dilakukan, BSF boleh menjadi alternatif kepada sumber makanan haiwan ternakan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada palet dan dedak import ketika ini.

“Semua sedia maklum, para penternak sedang berdepan dengan kenaikan harga makanan haiwan ternakan diimport terutamanya berasaskan kacang soya dan jagung. Jadi, larva BSF boleh dijadikan sumber makanan alternatif,” katanya.

BANGSAL sebeginilah biasanya digunakan untuk membiak lalat BSF dengan meletakkan sisa-sisa organik di dalamnya.

Harga palet berasaskan larva adalah sekitar RM10 bagi satu kilogram. Meskipun agak mahal ketika ini, ia boleh dikurangkan sekiranya diusahakan secara besar-besaran.

Justeru, Norhidayah juga sedang berusaha melakukan penyelidikan bagi membolehkan BSF diternak dalam sekala besar sekali gus dapat mengurangkan kos pengeluaran larvanya.

“Malaysia mempunyai potensi sangat besar dalam pembiakan BSF ini. Ia disebabkan faktor cuacanya yang panas dan lembap sepanjang tahun yang sesuai dengan pembiakan larva lalat.

“Malangnya, penternakan larva BSF ketika ini masih diusahakan secara kecil-kecilan oleh petani untuk diberikan terus kepada haiwan ternakan mereka. Sebenarnya, ia boleh dijadikan bisnes menguntungkan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Norhidayah berharap lebih ramai golongan B40 yang tinggal di kampung-kampung terlibat dalam penternakan lalat BSF ini kerana ia hanya memerlukan modal rendah tetapi pulangan lumayan.

Jelasnya, golongan tersebut boleh memanfaatkan sepenuhnya sisa buangan harian dan kawasan lapang di keliling rumah untuk menternak lalat BSF sekali gus meningkatkan penawaran dalam pasaran.

“Saya dan Ain Aquaculture sedang giat memberi pendedahan kepada para penduduk sekitar Kelantan mengenai potensi penternakan BSF. Ia boleh membantu golongan ini menjana pendapatan sampingan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN