fbpx
Wany Hasrita

Cinta, privasi Wany Hasrita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAR dalam keasyikan Menahan Rindu, Di Sini Cinta Di Sana Rindu, Belenggu Rindu dan seterusnya, Canggung, sekadar menyebut beberapa judul, Wany Hasrita ternyata berjaya menyita khalayak dengan kesantunanannya.

Berbekalkan kemasyhuran dan pakej yang ada, tidak mustahil kemanisan si bunga yang sedang berkembang itu tidak ditunggu sang kumbang. Persoalan sedemikian yang sengaja diintai daripada kamus bicara Wany.

Tambahan pula sudah ada desas-desus mengatakan Wany akan mengikut jejak langkah rakan-rakan artis lain menamatkan zaman bujang pada tahun ini.

Penyanyi yang pernah dinobat sebagai Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH31) pada tahun 2018 itu bagaimanapun selesa berteguh dengan prinsipnya. Dia tidak mahu berbicara soal peribadi dan kisah cintanya secara terlalu terbuka.

 

Meskipun mengakui lebih selesa menyanyikan lagu genre irama Malaysia, Wany mahu membuktikan dia mampu menjadi penyanyi yang versatil.

 

Saat diaju adakah dia sudah mempunyai calon suami dan akan berkahwin dalam masa terdekat, Wany tidak mengiyakan atau menidakkan persoalan tersebut Wany hanya tergelak kecil.

Dalam senyum bahkan sempat bercanda, dia sekadar mengakui sedang berkawan dengan seseorang.

Namun, masih terlalu awal untuknya berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tersebut kepada umum kerana semuanya masih belum menemui titik kepastian.

“Kami sedang berkawan dan masih dalam proses mengenali hati budi. Kalau boleh, saya tidak mahu komen dengan lebih lanjut sebab bagi saya kisah cinta terlalu peribadi untuk dikongsikan.

“Macam pernah saya katakan sebelum ini, soal jodoh ialah ketentuan Allah SWT. Saya percaya pada takdir dan jika ada jodoh, saya akan umumkan kepada semua,” kata penyanyi berusia 28 tahun itu.

Tambah Wany: “Saya tidak pernah berniat untuk merahsiakan tentang identiti kekasih tetapi akan berkongsi sekiranya semuanya sudah termaktub bahawa ‘si dialah’ calon suami yang saya nantikan selama ini.

“Selain itu, saya banyak ambil iktibar daripada kisah artis lain, saya bimbang jika terlalu terbuka bercerita, kemudian putus, saya dan keluarga juga yang akan malu nanti.

“Jadi, selagi tiada apa yang serius baik saya simpan dahulu, jika ada dan dah sahih nanti saya pastikan akan kongsikan kepada semua. Perkara baik tidak disorok,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Wany menjelaskan, hari bahagianya yang dikatakan bakal berlangsung pada tahun ini sebenarnya tidak benar.

“Saya sendiri tidak tahu bilakah hari perkahwinan saya berlaku, mungkin tahun depan tetapi itu pun masih belum pasti. Berilah orang lain kahwin dulu tahun ini.

“Tambahan pula kita sedang jalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi rasanya lebih baik fikir tentang mencari rezeki untuk teruskan kelangsungan hidup yang telah tergendala selama beberapa bulan,” tuturnya lagi.

Wany juga mengakui sedikit terganggu apabila cerita-cerita cintanya yang sering diberi perhatian berbanding kisah perjalanan karier.

“Kadangkala tertekan juga jika selalu sangat orang tanya, bila mahu berumah tangga. Semua orang pasti mahu berkahwin, sama juga seperti saya.

“Cuma apabila selalu sangat bercakap isu yang sama, rasa pelik pula.

“Banyak lagi cerita lain yang rasanya lebih menarik untuk dikongsikan seperti pencapaian dan aktiviti seni saya,” jelas Wany.

 

Wany mengakui PKP telah membuka matanya untuk menjadi lebih matang menyusun rencana kehidupan.– ihsan FMC Music Sdn. Bhd.

 

 

Impak PKP

 

Mengulas isu semasa, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan itu berkata, PKP dan PKPP mengajarnya untuk lebih bijak bagi mengatur episod kehidupan masa depan.

“Sepanjang PKP, banyak perkara yang saya sedar terutama untuk lebih bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Bukanlah sebelum ini tidak fikir masa depan, cuma tidak pernah sangka yang kita perlu hadapi dugaan begini sehinggakan banyak aktiviti seni terpaksa dihentikan,” katanya.

Penyanyi itu turut mengakui PKP juga membuatkannya sedar bahawa betapa rapuh bidang yang sedang diceburi.

Ujarnya, kerapuhan itu membuka matanya mengenai betapa pentingnya untuk seseorang anak seni memiliki simpanan yang mencukupi.

“Waktu begini, wang simpanan sangat penting sebab kita tidak akan pernah tahu apa yang akan terjadi contohnya tiba-tiba sahaja dunia diserang pandemik dan menuntut kita berkurung di rumah serta tidak boleh bekerja.

“Orang seni pula kerjanya di luar rumah, buat persembahan dan turun ke set pengambaraan. Tetapi bila tiba-tiba jadi begini, memang risau juga terutama tentang kewangan,” katanya.

Apa pun, Wany tetap bersyukur kerana tidak mengalami kekangan perbelanjaan.  Sikapnya yang tidak boros berbelanja dan beringat sebelum kena, banyak menyelamatkan keadaan.

Sepanjang PKP juga dia tidak berlebih untuk membeli atau menyimpan barang keperluan.

“Ramai yang anggap, bila jadi artis mesti kaya. Salah sebenarnya, persepsi begitu sebab kehidupan sesetengah artis tidaklah semewah yang disangka.

“Setiap anak seni termasuk saya ada kesukaran sendiri. Jadi janganlah menghentam apabila mereka berkongsi tentang kesusahan,” ujar Wany dalam nada tegas.

 

Canggung

 

Benarlah kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Predikat tersebut terbukti apabila singlenya, Canggung yang dikeluarkan sekitar akhir Mac lalu telah mencecah enam juta tontonan dalamYouTube. 

Mulanya, Wany mengakui berasa agak risau kerana lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu dilancarkan semasa tempoh PKP. 

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Menahan Rindu berkata, pelbagai aktiviti promosi lagu tersebut telah dirancang, namun terpaksa dibatalkan ekoran Covid-19.

“Awalnya, saya risau jika lagu ini tidak akan mendapat sambutan, namun sangkaan meleset selepas melihat sambutan yang diterima sangat baik.

“Saya juga kini dalam perancangan untuk mengeluarkan single baharu, kemungkinan besar lagu tersebut akan keluar dari zon selesa, mungkin saya akan buat lagu rap,” selorohnya yang menutup bicara.


Belajar daripada individu lain, Wany lebih selesa tidak berkongsi kisah percintaannya kepada umum.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN