SEPANG – Seorang wanita warga Jepun maut selepas terjatuh dari balkoni aras tiga Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh ke kawasan ruang memunggah barang (loading bay) terminal berkenaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil semakan mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga Jepun berusia 22 tahun.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihak kedutaan Jepun turut dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar. – KOSMO! ONLINE














