KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelaksanaan dua model pelesenan bagi mengawal selia platform e-dagang dengan masing-masing melibatkan bidang kuasa suruhanjaya itu serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC bersedia mengenakan rejim pelesenan berkenaan sekiranya diperlukan bagi memastikan isu berkaitan kemudaratan dalam talian dapat ditangani oleh platform e-dagang.
Katanya, kerajaan telah meneliti peruntukan undang-undang berkaitan dan sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan dua model pelesenan itu.
“Kita telah teliti dan melihat kepada undang-undang dan mungkin ke arah dua ‘licensing model’ yang mana pihak MCMC melesenkan untuk membantu memastikan perkara berkaitan kemudaratan dalam talian dapat diatasi oleh platform e-dagang.
“Manakala daripada segi kepenggunaan, itu yang akan dikawal oleh pihak KPDN,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi Penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian anjuran MCMC di sini tadi.
Sementara itu, dengan memberi contoh kepada penjualan vape secara dalam talian yang mengandungi dadah, Fahmi berkata, perkara itu akan berada bawah seliaan agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
“MCMC akan membantu memastikan beberapa perkara seperti contohnya, perkara itu mesti diturunkan dalam tempoh satu jam.
“Maksimum 24 jam sekiranya ia adalah barang yang bersifat agak ekstrem seperti dadah itu.
Jadi, platform sudah faham dan mereka akan berikan kerjasama yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, platform e-dagang antarabangsa seperti Alibaba dan Temu turut memberikan kerjasama baik pada sesi berkenaaan sekali gus memberi terjemahan kepada kefahaman mereka terhadap maksud kerajaan. – KOSMO! ONLINE














