LOS ANGELES – Gempa bumi sederhana berukuran 5 magnitud melanda selatan negeri California semalam, menggegarkan tingkap-tingkap di Los Angeles dan memaksa sebuah pesawat membatalkan pendaratan di lapangan terbang bandar tersebut.
Gempa itu berpusat di luar Pantai Manhattan, sebuah bandar dekat Los Angeles, demikian menurut laporan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat(USGS) dan diikuti siri gempa susulan.
Gempa semalam mencetuskan penggera kereta, memecahkan tingkap lapangan terbang dan menyebabkan asap berkepul dari kilang penapis minyak apabila prosedur keselamatan automatik diaktifkan, namun tiada laporan kecederaan atau kerosakan besar.
Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Gabenor California menyatakan, pihaknya ‘aktif bekerjasama dengan pegawai tempatan untuk menilai impak bencana tersebut’
“Gempa bumi tidak dapat diramal, jadi bersedialah untuk menghadapi gempa susulan,” tambahnya.
Gempa awal itu memaksa sebuah pesawat Delta Airlines membatalkan pendaratan ketika` menghampiri lapangan terbang Los Angeles.
Pesawat tersebut hampir mendarat apabila gegaran berlaku, menyebabkannya membatalkan pendaratan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keretakan berlaku pada landasan.
Datuk Bandar Karen Bass memberitahu saluran berita Fox News bahawa ‘tindakan itu tepat, kerana sukar untuk mengetahui jika terdapat kerosakan sebelum landasan diperiksa’.
Gempa susulan turut menyebabkan panel siling jatuh di lapangan terbang Los Angeles di mana tingkap-tingkap di salah satu terminal turut pecah.
“Orang ramai ketakutan,” kata peguam dari Maryland, Kenna Cramer, 27 yang hendak menaiki penerbangan pulang ke Washington kepada media tempatan.
“Terdapat jeritan kecil daripada seorang wanita, kemudian semua orang kembali tenang,” tambahnya.
Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) berkata, pihaknya berada dalam ‘mod gempa bumi’ ketika anggota dari lebih 100 balai melakukan penilaian infrastruktur kritikal di bawah bidang kuasanya melalui darat, udara dan laut.
“Tiada kerosakan infrastruktur ketara atau kecederaan dilaporkan di bandar raya Los Angeles,” kata jabatan itu dalam laman webnya selepas penilaian selesai.
Negeri California sudah biasa dengan gempa bumi, namun gegaran semalam adalah ‘antara yang lebih kuat pernah berlaku di kawasan Los Angeles dalam tempoh yang agak lama’, kata ahli seismologi Lucy Jones kepada media tempatan.
Sebagian besar gegaran adalah kecil dan tidak disedari oleh penduduk, termasuk lebih 18 juta orang yang tinggal di kawasan metropolitan Los Angeles.
Gempa bumi San Francisco pada tahun 1906, yang turut mencetuskan tsunami, dipercayai mengorbankan lebih daripada 3,000 orang, di mana sebahagian daripadanya terkorban dalam kebakaran yang berlaku selepas gegaran kuat tersebut. – AFP














