Kakitangan Rapid Rail sedang menjalankan kerja-kerja pengantian landasan di Stesen Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Rapid Rail ganti rel haus, bising

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail), pengendali perkhidmatan rel di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus mempercepat usaha penggantian landasan Transit Aliran Ringan (LRT) ­Laluan Kelana Jaya bagi mening­katkan keselesaan penum­pang termasuk bagi me­ngurangkan bunyi bising dalam gerabak.

Penggantian itu dilaksanakan menerusi Program Rapid Rail Acceleration bermula September lalu dan dijadualkan berakhir pada September tahun depan dengan memberi tum­puan kepada pelaksanaan kerja penyelenggaraan secara lebih intensif, termasuk melalui pelanjutan tempoh waktu penyelenggaraan.

Antara kawasan diberi keutamaan ialah selekoh besar antara Stesen Kerinchi dan Stesen Abdullah Hukum yang memerlukan kerja-kerja penggantian landasan lebih kompleks berikutan jajaran luas.

Ketua Kejuruteraan Laluan Kelana Jaya, Ir. Nik Faisal Nik Mustapha berkata, menerusi pe­rancangan penyelenggaraan biasa, kerja penggantian landasan di kawasan berkenaan dianggarkan mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, menerusi pelaksanaan program itu ia membolehkan tempoh berkenaan dipendekkan kepada hanya satu tahun.

“Langkah penggantian landasan perlu dilakukan kerana pemeriksaan berkala mendapati permukaan landasan telah mencapai atau melepasi had kehausan yang ditetapkan.

“Keadaan landasan haus boleh meningkatkan getaran dan bunyi bising ketika tren bergerak, selain berisiko menjejaskan komponen tren sekiranya tidak diganti mengikut keperluan.

“Apabila landasan mencapai tahap kehausan ditetapkan, penggantian perlu dilakukan bagi mengelakkan getaran berlebihan yang boleh mempercepatkan kerosakan komponen tren,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui semasa kerja-kerja penggantian landasan di Stesen Kerinchi di sini baru-baru ini.

Kerja-kerja penggantian landasan LRT Kelana Jaya dijadualkan selepas pada September 2027.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, kerja-kerja di kawasan selekoh besar berkenaan memerlukan tempoh penyelenggaraan sehingga lapan jam bagi setiap sesi, berbanding kira-kira tiga jam sete­ngah bagi kerja penyelenggaraan biasa.

Sementara itu, Rapid Rail menyediakan beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan kesulitan penumpang sepanjang tempoh kerja penggantian landasan, termasuk hebahan awal menerusi laman sesawang dan saluran media sosial.

“Bas perantara percuma disediakan bagi membantu pergerakan penumpang di stesen terlibat sepanjang tarikh kerja penyelenggaraan dijalankan supaya penumpang dapat me­rancang perjalanan dan menggunakan perkhidmatan alternatif disediakan,” katanya.

Melalui Program Rapid Rail Acceleration katanya, pihaknya turut melanjutkan tempoh waktu penyelenggaraan bagi membolehkan lebih banyak kerja dilaksanakan dalam setiap sesi yang membolehkan kerja di­selesaikan dalam tempoh satu tahun.

Dalam usaha meningkatkan kebolehpercayaan dan ke­selamatan perkhidmatan, Rapid Rail turut melaksanakan beberapa projek penambahbaikan infrastruktur dan sistem operasi antaranya termasuk penaiktarafan sistem semboyan atau signalling secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan peralatan di pusat kawalan telah selesai.

“Manakala fasa kedua membabitkan penggantian komponen di landasan kini dalam proses perolehan.

“Selain itu, sistem televisyen litar tertutup turut dinaik taraf kepada sistem digital yang berpotensi dilengkapi teknologi kecerdasan buatan pada masa hadapan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan ke­selamatan,” katanya.

Kerja-kerja pemasangan penghadang keselamatan platform di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang dan Sri Petaling juga sedang giat dilaksanakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN