Ujian berlangsung selama 20 minit bermula pukul 10.10 pagi hingga 10.30 pagi hari ini.

Jangan panik dapat mesej amaran MySiren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya te­lefon bimbit secara tiba-tiba mengeluarkan bunyi amaran kecemasan pagi ini kerana ia bukan petanda bencana berlaku, sebaliknya ujian nasional Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) seluruh negara sedang dijalankan.

Ujian berlangsung selama 20 minit bermula pukul 10.10 pagi hingga 10.30 pagi itu bukan menandakan berlaku kecemasan sebenar, tetapi bertujuan menilai kesiapsiagaan sistem dan meningkatkan kesedaran awam.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ros­ninawati Hussin berkata, pelaksa­naan MySiren suatu yang wajar sebagai sebahagian daripada proses kesiapsiagaan negara dalam meng­hadapi situasi kecemasan pada masa akan datang.

Menurutnya, MySiren adalah satu langkah proaktif kerajaan memperkukuh sistem komunikasi kecemasan negara, khususnya dalam memastikan maklumat berkaitan ancaman keselamatan dan bencana dapat disampaikan dengan segera.

“Dalam situasi kecemasan, setiap saat amat berharga. Kelewatan menerima maklumat boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang sewajar­nya bagi melindungi diri serta keluarga.

“Dari perspektif komunikasi, MySiren mengubah pendekatan penyampaian maklumat kecemasan daripada bersifat pasif kepada lebih proaktif,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Beliau yang juga pakar komunikasi krisis berkata, sebelum ini, masyarakat mungkin bergantung kepada hebahan di televisyen, radio, portal berita atau media sosial untuk mendapatkan perkembangan semasa.

“Melalui MySiren, mesej amaran boleh disampaikan secara langsung kepada pengguna telefon bimbit di kawasan yang terlibat, tanpa mereka perlu mencari maklumat tersebut terlebih dahulu,” ujarnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) melakukan gimik pelancaran MySiren di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 23 November lalu. – BERNAMA

Rosninawati berkata, dalam era komunikasi digital, cabaran utama kerajaan ketika berlakunya kecemasan bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, tetapi memastikan maklumat diterima masyarakat adalah tepat, sahih dan tidak mengelirukan.

“Kita sering melihat bagaimana sesuatu kejadian bencana atau kecemasan mencetuskan penyebaran maklumat yang belum disahkan, spekulasi, khabar angin dan berita palsu, khusus­nya menerusi media sosial dan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan Telegram.

“Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan, kebimba­ngan serta panik dalam kalangan masyarakat.

“MySiren berpotensi me­ngurangkan kebergantungan masyarakat kepada sumber maklumat tidak rasmi dengan menyediakan satu saluran komunikasi langsung antara pihak berkuasa dengan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian nasional hari ini bukan sekadar pengujian teknologi, tetapi satu bentuk pendidikan dan latihan komunikasi kepada masyarakat.

“Apabila menerima bunyi ama­ran, masyarakat dinasihatkan supaya bertenang, membaca keseluruhan mesej dengan teliti dan memahami konteksnya ­sebelum membuat sebarang tin­dakan.

“Selain itu, masyarakat boleh memainkan peranan dengan memberikan penerangan awal kepada ahli keluarga, khususnya kanak-kanak dan warga emas, supaya mereka tidak terkejut atau panik apabila mendengar bunyi amaran tersebut,” ujarnya.

MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast diba­ngunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan, supaya mereka ­dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi Sazali pula berpandangan, MySiren adalah satu inisiatif yang sangat baik dan diperlukan oleh masyarakat Malaysia.

“Dalam pengalaman kami turun ke lapangan bantu mang­sa banjir, antara perkara paling penting ketika bencana berlaku ialah maklumat awal. Kadang-kadang, bukan masyarakat tak nak selamatkan diri, tapi mereka tidak tahu keadaan sebenarnya sudah jadi berbahaya.

“Kami di Yayasan Ikhlas pernah berdepan keadaan apabila air sudah naik dengan cepat, penduduk masih dalam rumah dan mereka ingat keadaan okay dan masih terkawal. Ada pula ha­nya mula berpindah apabila air mula masuk dalam rumah.

“Dengan adanya MySiren, ia boleh jadi satu saluran penting untuk sampaikan amaran lebih awal terus kepada telefon bimbit masyarakat, khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko dan kritikal,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada semua anggota masyarakat untuk membiasakan dengan sistem amaran awal MySiren ini.

“Negara luar contohnya Jepun ada sistem J-Alert, Singapura ada Public Warning System (PWS). Masyarakat di negara-negara ini sudah terbiasa ­dengan sistem amaran sehinggakan mereka tidak lihat bunyi siren sebagai sesuatu yang menakutkan.

“Tetapi sebagai sebahagian daripada budaya keselamatan dan persediaan menghadapi kecemasan. Jadi, saya lihat pelaksanaan MySiren di Malaysia sebagai satu langkah ke arah yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN