PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah ‘pecah tabung’ dan hanya berbelanja mengikut kemampuan untuk mendapatkan khidmat Bojan Hodak sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan adalah bersandarkan situasi menang-menang dan pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Hodak sendiri mengenai jumlah gaji yang bakal diterima.
“Gaji bukan dinyatakan oleh FAM, yang penting adalah kita (FAM dan Hodak) berunding di mana FAM dan dia bersetuju (kadar gaji). FAM ada had sendiri dan dia bersetuju, jadi perkara ini (pelantikan Hodak) berlaku.
“Saya rasa tidak ada lumayan, ia berpatutan seperti apa yang diminta, kita pun ada had malah kita juga selepas ini akan umumkan jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23), wanita dan kita ada bajet tertentu untuk ambil jurulatih ini,” katanya ketika ditemui pada Kongres Pemilihan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), semalam.
Dunia bola sepak tempatan mula kecoh selepas media Indonesia mendedahkan bekas pengendali Persib Bandung itu didakwa menerima bayaran mewah mencecah RM2.24 juta semusim demi tugasan berat tersebut.
Nilai luar biasa itu bagaimanapun dianggap munasabah oleh ejen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah, yang menyifatkan reputasi Hodak selari dengan tanda harganya yang tinggi di rantau Asia Tenggara.
Meskipun baru sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pada 24 November lalu, Hodak tidak mempunyai masa untuk ‘berbulan madu’ apabila FAM meletakkan KPI tinggi untuk melayakkan Malaysia ke Piala Asia 2032.
Tumpuan peminat kini terarah kepada bagaimana pengendali berusia 55 tahun itu mahu menyatukan lambakan pemain naturalisasi dan warisan bagi membentuk formula juara menjelang Kelayakan Piala Dunia 2030, September tahun depan.














