PETALING JAYA – Penduduk di Bandar Damai Perdana, Cheras meluahkan kebimbangan berhubung kejadian tanah mendap sehingga menyebabkan terbentuknya lubang di kawasan berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, mendapan tersebut berlaku di sebuah penutup lurang di bawah permukaan jalan.
Bagaimanapun, seorang penduduk mendakwa pihaknya sudah cuba menghubungi Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), namun tidak menerima maklum balas.
Penduduk turut memaklumkan terdengar bunyi aliran air di kawasan tersebut yang dipercayai berpunca daripada kebocoran paip bawah tanah.
“Kepada pihak MPKJ tolong ambil tindakan secepat mungkin untuk keselamatan. Kepada semua penduduk yang menggunakan laluan ini hati-hati takut jalan pecah dan terbelus kedalam,” katanya dalam hantaran di Threads.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menggesa pihak berkenaan segera menangani masalah tersebut.
“Ini nak tunggu ada kematian baru jalan ke,” kata Azlin.
“Harap pihak MPKJ bertindak sebelum ada mangsa. Jangan tunggu benda ni masuk berita baru nak turun padang. Mencegah lebih baik daripada menyesal,” ujar Syed. – KOSMO! ONLINE














