KEADAAN pesawat dinaiki Presiden Poland yang terhempas di Smolensk, Russia pada 2010. – AFP

Selepas lebih 16 tahun, ini punca nahas pesawat Presiden Poland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MOSCOW – Pasukan pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesilapan kru menjadi punca nahas pesawat yang membawa Presiden Poland Lech Kaczynski berhampiran bandar Smolensk, Rusia, pada 2010, kata jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Negara Przemyslaw Nowak kepada pemberita, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Pakar telah mengenal pasti punca nahas itu. Menurut mereka, nahas di Smolensk berpunca daripada rentetan kejadian semasa proses pendaratan.

“Ini termasuk pendekatan pendaratan yang tidak stabil, penilaian yang tidak tepat mengenai altitud sebenar pesawat, tindakan meneruskan penurunan pesawat di bawah altitud minimum yang selamat serta keputusan yang dibuat terlalu lewat untuk memulakan olah gerak bagi membatalkan pendaratan dan menaikkan semula pesawat,” kata Nowak.

Pesawat itu didapati turun terlalu pantas semasa proses pendaratan.

“Pakar mendapati olah gerak penurunan pesawat dimulakan terlalu lewat, menyebabkan pesawat kehilangan altitud pada kadar yang terlalu tinggi,” kata Nowak.

Beliau berkata, puluhan pakar mengambil masa bertahun-tahun untuk menyiasat nahas pesawat Tu-154 itu.

Laporan akhir itu disediakan oleh pasukan antara disiplin antarabangsa yang dianggotai 22 pakar dan ditubuhkan tujuh tahun lepas.

Nowak berkata, pasukan itu menjalankan tugas selama lima tahun dan memuktamadkan kesimpulan mereka pada Ogos 2024.

“Pihak pendakwa raya kemudian mendapatkan terjemahan laporan itu dalam bahasa Poland, menganalisisnya dan mendapati laporan berkenaan tidak lengkap serta kurang jelas, sebelum meminta laporan itu dilengkapkan dan mengemukakan 66 soalan.

“Pakar mengemukakan laporan tambahan itu pada Mei tahun ini. Selepas menterjemah dan menganalisisnya, pihak pendakwa raya membuat kesimpulan bahawa secara keseluruhannya laporan itu lengkap dan jelas,” kata jurucakap itu.

Nahas pesawat Tu-154 itu mengorbankan kesemua 96 individu di dalam pesawat, termasuk 88 penumpang dan lapan kru pada 10 April 2010.

Presiden Poland dan delegasinya dalam perjalanan untuk menghadiri upacara memperingati dan memberikan penghormatan kepada pegawai tentera Poland yang dihukum mati di Katyn, berhampiran Smolensk, pada 1940.

Jawatankuasa Penerbangan Antara Negara (IAC) membuat kesimpulan bahawa punca langsung nahas itu ialah keputusan kru untuk tidak melencongkan pesawat ke lapangan terbang alternatif meskipun dalam keadaan berkabut.

Punca sistemik termasuk kelemahan dalam latihan juruterbang yang ditugaskan dalam unit penerbangan presiden. Suruhanjaya siasatan awal Poland yang diketuai bekas Menteri Dalam Negeri Jerzy Miller turut mencapai kesimpulan yang sama. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN