BERA – Perjalanan seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke tempat kerja berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 32 Jalan Temerloh-Bahau, pagi tadi.
Mangsa, Mohd. Hafiz Janudin, 36, yang bertugas sebagai penyelenggara am operasi KTMB, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.22 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Honda dari arah Bahau menuju ke Temerloh.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Alza dipandu wanita berusia 45 tahun dari arah bertentangan dipercayai tiba-tiba memasuki simpang di sebelah kiri laluan mangsa.
“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan sebelum penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta pula mengalami kecederaan pada mata akibat terkena serpihan kaca dan mendapatkan rawatan di Klinik Triang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE














