“TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”
Peribahasa tersebut cukup menggambarkan realiti dunia pengacaraan apabila setiap tutur kata, gurauan dan pengucapan di hadapan kamera mampu mengundang pelbagai reaksi, apatah lagi dalam era media sosial yang pantas menjadikan sesuatu isu tular tanpa sempadan.
Bagi sesetengah pengacara, keterbukaan dan sikap spontan menjadi ramuan penting untuk menghidupkan suasana, namun apabila terlajak batas atau mengundang sensitiviti, mereka pantas dikecam sehingga mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan hangat masyarakat.
Natijahnya, reputasi terbakar hangus. Sensasi yang tercetus ketika acara berprestij Festival Filem Malaysia ke-35 baru-baru memberi pengajaran buat pemain seni agar berhemah dalam meluahkan bicara. Ingat, lain orang, lain pemahaman atau interpretasinya.

Afdlin Shauki – Bahankan Aina Abdul, pemilihan dipersoal
Pemilihan Datuk Afdlin sebagai pengacara Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bersama Amelia Henderson mencetuskan persoalan apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham membangkitkan isu kronisme. Afdlin menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan pemilihannya dibuat mengikut peraturan serta melalui badan integriti. Ketika mengacara, dia juga mencetuskan kontroversi apabila dikatakan berseloroh meminta agar sesiapa yang memakai baju persis Aina untuk duduk di belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. Biarpun teruk dikritik, isu tersebut selesai apabila pengarah filem Buli itu melakukan permohonan maaf secara terbuka.

Azwan Ali – Insiden tarik rambut, kontroversi Aliff Syukri
Dahulu dikenali sebagai antara pengacara yang paling disegani negara menerusi legasi Anugerah Juara Lagu, Azwan Ali pernah mencetuskan sensasi ketika terlibat dalam insiden tarik rambut bersama usahawan Datuk Seri Aliff Syukri pada sebuah acara di Singapura pada November 2023. Insiden berlarutan apabila Azwan mengumumkan hasrat menyaman Aliff sebanyak RM100 juta. Pada Julai 2025, dia sekali lagi menjadi perhatian selepas memijak beg tangan jenama Aliff. Azwan kemudian bagaimanapun mendakwa aksi tersebut merupakan sebahagian daripada persetujuan promosi.

Jihan Muse – Sindir Elly Mazlein
Pada September 2024, Jihan menerima kecaman selepas gurauan ketika mengendalikan program The Chosen One didakwa menyindir rakan pengacara, Elly Mazlein. Elly turut meluahkan rasa kurang senang menerusi Instagram Story, manakala ruangan media sosial Jihan dibanjiri komen netizen yang mempersoalkan profesionalismenya sebagai pengacara.

Johan Raja Lawak – Gurauan terhadap Ogy hampir ke mahkamah
Antara kontroversi pengacaraan yang masih diingati adalah insiden membabitkan Johan ketika mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 2011. Gurauannya yang mempersendakan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy serta Allahyarham ibu bapanya mengguris hati bintang Puteri itu. Berasa terhina, Ogy turut meluah hasrat mengambil tindakan undang-undang, bagaimanapun membatalkan hasrat menyaman Johan pada Mac 2012 selepas memaafkan pelawak tersebut.

Nabil Ahmad – Gurauan GV, fakta undang kecaman
Gaya spontan Nabil ketika mengendalikan Gegar Vaganza (GV) bukan sekali dua mengundang reaksi penonton. Dia seringkali menerima kecaman kerana keceluparan mulutnya saat mengacarakan program hiburan terutama GV. Terbaharu, peminat yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Nabil gara-gara keceloparan mulut ketika menjalankan tugas sebagai hos dalam GV Fantasia. Antara peserta yang menjadi ‘bahan’ usikan Nabil Ahmad pada konsert minggu pertama termasuklah Mila Jirin dan Faizal Ramly. Faizal diusik mengenai keadaan ‘bengkak’ pada dirinya, manakala Mila pula menerima komen berseloroh Nabil mengenai tahi lalat (mole) pada wajahnya














