Ucapan takziah oleh Anwar susulan pemergian Allahyarham Abdul Gani,

PM kenang ketegasan Gani Patail dalam menuntut keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang kembali ke rahmatullah malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan pemergian Abdul Gani sebagai kehilangan seorang tokoh perundangan yang berani dalam menegakkan keadilan.

Perdana Menteri berkata, beliau akan sentiasa mengenang pendirian teguh Allahyarham dalam menuntut keadilan ketika negara berdepan skandal rasuah terbesar.

“Saya akan sentiasa mengenang ketegasan Allahyarham dalam menuntut keadilan tatkala negara terheret ke dalam skandal rasuah terbesar. Beliau teguh dengan pendirian dalam tempoh getir itu, sehingga akhirnya disingkirkan daripada jawatan,” kata beliau.

Anwar turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarganya dalam menghadapi kehilangan itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, sambil mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam.

“Dukacita menerima khabar pemergian bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ke rahmatullah. Segala jasa, khidmat bakti dan sumbangan Allahyarham dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara akan sentiasa dikenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fahmi mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Abdul Gani, 71, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta malam tadi akibat jangkitan.

Allahyarham pernah memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN