KUALA PILAH – Selepas melalui beberapa kemelut pentadbiran, Istana Seri Menanti, di sini, hari ini menjadi tumpuan bersempena istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Majlis yang dijangka bermula pukul 10 pagi itu bakal berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tinjauan mendapati petugas media mula memasuki pekarangan istana bagi membuat liputan istiadat berkenaan yang dijadualkan.
Beberapa anggota polis turut berkawal di pintu 2 istana memeriksa tetamu dan petugas yang dibenarkan menghadiri istiadat terbabit.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Exco yang bakal mengangkat sumpah pagi ini dijangka tiba pada pukul 9.40 pagi.
Istiadat itu turut menandakan bermulanya tanggungjawab barisan Exco dalam membantu Menteri Besar menerajui pentadbiran dan pembangunan negeri.






