MASUK kali keempat mengadakan konsert di Malaysia sepanjang 2026, kumpulan popular Indonesia, Wali Band terus membuktikan pengaruh mereka masih luar biasa apabila persembahan terbaharu di Kuala Lumpur sekali lagi mencatatkan kehadiran penuh penonton.
Menerusi konsert Exclusive Night Wali Band yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, seramai 5,000 penonton memenuhi ruang persembahan bagi menyaksikan kumpulan itu yang tampil dengan konsep lebih eksklusif berbanding tiga konsert terdahulu.
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang menampung kapasiti penonton lebih besar, konsert kali ini menawarkan pengalaman lebih intim tanpa mengorbankan kemeriahan persembahan.
Malah, pemilihan lokasi berskala lebih kecil ternyata bukan penghalang untuk Wali Band mencipta satu lagi malam penuh kenangan sebaliknya menjadikan suasana lebih dekat antara pemuzik dan peminat.
Menariknya, persembahan malam itu terlebih dahulu dibuka penyanyi tempatan, Najwa Latif yang kemunculannya turut dinantikan peminat selepas sekian lama jarang tampil mengadakan persembahan secara langsung.
Kemunculan Najwa mengubat kerinduan peminat yang pernah membesar bersama lagu-lagu popularnya, sekali gus mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan penyanyi itu dalam industri muzik tanah air.

Deretan lagu hits seperti Kosong, Carta Hati, Sahabat dan Cinta Muka Buku nyata menggamit kembali memori penonton yang turut menyanyikan lagu-lagu berkenaan sepanjang persembahannya.
Pemilihan Najwa sebagai artis pembuka tirai dilihat cukup tepat memandangkan karya penyanyi itu juga mempunyai kelompok peminat tersendiri, khususnya generasi yang membesar bersama lagu-lagu Wali Band sekitar era yang sama.
Sebaik tiba giliran Wali Band menguasai pentas, kumpulan itu seperti kebiasaan memulakan persembahan dengan alunan selawat sebelum meneruskan momentum menerusi lagu Cari Berkah.
Pembukaan sedemikian sememangnya menjadi antara identiti tersendiri Wali Band yang tidak pernah melupakan elemen kerohanian meskipun tampil dalam sebuah konsert hiburan.
Malah, setiap kali mengadakan persembahan, Wali Band tidak pernah lokek menitipkan doa dan pesanan positif kepada penonton, menjadikan konsert mereka bukan sekadar medan berhibur semata-mata.
Keistimewaan itulah yang membezakan Wali Band dengan kebanyakan kumpulan lain apabila hiburan dan nilai keagamaan berjaya disatukan secara santai tanpa mengganggu kemeriahan persembahan.
Dari sudut persembahan, Wali Band ternyata tidak mengecewakan apabila menampilkan aksi pentas bertenaga selama satu jam setengah, sekali gus membuktikan pengalaman bertahun-tahun dalam industri menjadi kekuatan utama mereka.
Vokalisnya, Faank juga masih memiliki karisma tersendiri dalam menguasai pentas, manakala deretan lagu popular kumpulan itu berjaya memastikan penonton terus terhibur sepanjang persembahan.
Lebih menarik, biarpun kebanyakan lagu Wali Band sudah berusia lebih sedekad, karya mereka masih mampu mengundang keterujaan peminat yang tidak kekok menyanyikan lagu-lagu berkenaan.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Wali Band mempunyai kelebihan tersendiri dalam menghasilkan lagu yang dekat dengan kehidupan masyarakat khususnya berkaitan cinta, persahabatan dan perjalanan hidup.
Namun, perkara paling mencuri perhatian adalah kemampuan kumpulan itu menarik kehadiran generasi muda termasuk golongan Gen Z yang turut sama larut dalam suasana ‘bergalau’ sepanjang persembahan.

Fenomena tersebut membuktikan bahawa muzik Wali Band tidak hanya menjadi milik generasi terdahulu sebaliknya terus merentas usia dan menemukan peminat daripada pelbagai latar belakang.
Tidak kurang menarik, pemilihan lagu Doaku Untukmu Sayang dan Baik-Baik Sayang yang dipersembahkan dalam versi akustik nyata menjadi antara momen istimewa apabila berjaya mencipta suasana lebih romantis dan menyentuh perasaan penonton.
Segmen tersebut turut memberi ruang kepada pasangan yang hadir untuk menghayati bait-bait lirik dengan penuh makna.
Kemuncak persembahan malam itu nyata hadir menerusi pemilihan empat lagu terakhir yang boleh dianggap sebagai susunan paling tepat untuk menutup sebuah konsert penuh nostalgia.
Bermula dengan Tobat Maksiat, suasana terus memuncak apabila Wali Band meneruskan persembahan dengan Yank, diikuti Aku Bukan Bang Toyib sebelum mengakhiri malam menerusi lagu ikonik Cari Jodoh.
Pemilihan empat lagu tersebut ternyata menjadi klimaks paling dinantikan apabila masing-masing memiliki kekuatan tersendiri dan cukup sinonim dengan perjalanan seni kumpulan berkenaan.
Malah, sukar membayangkan sebuah konsert Wali Band tanpa dendangan Cari Jodoh yang sehingga kini masih menjadi antara karya paling dikenali selain turut memberikan penutup yang cukup bermakna kepada peminat.
Secara keseluruhan, konsert Exclusive Night Wali Band membuktikan bahawa kejayaan sesebuah persembahan bukan semata-mata diukur berdasarkan kapasiti lokasi, sebaliknya pengalaman dan kepuasan yang dibawa pulang penonton.
Kekuatan Wali Band terletak pada kemampuan mereka mengekalkan identiti muzik, menyatukan pelbagai generasi serta menyelitkan mesej positif. Syabas!















